Anak Ezzaty Abdullah jatuh di tempat adanya ‘makhluk ghaib’ muncul

Pelakon Ezzaty Abdullah, telah melalui detik yang agak cemas apabila anaknya perempuannya, Harum Dahlia telah terjatuh di tangga sehingga mengalami pendarahan pada bahagian gusi.

Lebih merisaukan dirinya apabila kanak-kanak berusia setahun lima bulan itu jatuh di tempat sama yang mana sebelum ini menyaksikan kemunculan kelibat atau makhluk ghaib ketika bergambar bersama Harum dirakam, penghujung tahun lepas.

Menceritakan kembali detik berkenaan, isteri kepada Azwan Kombos ini berkata, entah bagaimana Harum boleh bermain sendirian di tangga ketika dirinya sedang memasak, baru-baru ini.

Ini komennya:

“Insiden terbabit berlaku sekitar jam 8 malam dan ketika itu, suami (Azwan Kombos) sedang menonton televisyen di ruang tamu. Kami tidak tahu bagaimana Harum boleh berada di kawasan itu sebelum terjatuh hingga gusinya berdarah.

“Saya jadi berang dan memberi ‘amaran’ kepada makhluk itu kerana ia seperti mengganggu anak saya. Jika sebelum ini kelibat kelihatan di tangga ketika bergambar bersama Harum, kali ini dia terjatuh pula di tempat yang sama,”

Disember tahun lepas, Ezzaty ada bercerita tentang pengalaman mistik apabila gambar bersama anak yang dikongsi di Insta Story turut dikatakan merakamkan beberapa kelibat di belakang mereka.

“Alhamdulillah, selepas kejadian lima bulan lalu itu, kami tidak lagi diganggu. Biarlah jika ia hendak menumpang, asalkan tidak mengacau kita yang berada di rumah”

Ezzaty turut berkata, kejadian berkenaan membuatkan dirinya lebih berani dan tidak hanya bergantung kepada suami.

Bercerita tentang perkembangan terkini dirinya pula, Ezzaty memberitahu dia kini sibuk mengendalikan spa yang dinamakan dengan nama anaknya, Harum, di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Jelasnya, dia mula berjinak-jinak dalam perniagaan sebagai pelaburan untuk masa hadapan.

“Jujurnya, saya tidak mempunyai pengalaman menguruskan spa, namun bersama bantuan seorang rakan, impian membuka Harum terlaksana juga. Saya bersyukur kerana setiap hari kami menerima pelanggan baharu, selain kunjungan mereka yang pernah mendapatkan khidmat pusat penjagaan diri ini.

“Saya menceburkan diri dalam perniagaan sebagai pelaburan untuk masa hadapan. Saya kena terima hakikat, suatu hari nanti rezeki dalam lakonan mungkin tidak lagi selebat sekarang. Apa pun, buat waktu ini bidang lakonan masih menjadi keutamaan kerana minat saya lebih ke arah itu,”

Sumber: BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here