Ini berita tentang pernikahan Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra.
Tengku Mahkota Kelantan telahpun selamat melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hati dari Sweden, Sofie Louise Johansson, dalam satu istiadat tertutup di Istana Balai Besar, di Kota Bharu malam tadi.
Baginda tiba bersama pasangannya menaiki kenderaan berasingan pada 8.20 malam diikuti bondanya, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid pada 8.30 malam.
Majlis akad nikah baginda bersama pasangan diadakan selepas solat Isyak dan disusuli dengan istiadat perkahwinan.
Pasangan itu dinikahkan oleh Datuk Aria Diraja yang juga Ketua Hakim Mahkamah Syarie Kelantan Daud Mohamad pada 8.35 malam.
Khutbah nikah pula dibacakan oleh Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad.
Turut berangkat bonda Sultan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid yang tiba pada 8.30 malam.
Istiadat pernikahan itu disusuli majlis persandingan dan jamuan diraja yang dihadiri kerabat terdekat Diraja Kelantan serta kenalan terdekat Dr Tengku Muhammad Faiz Petra.
Dalam pada itu, gambar perkahwinan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra dan Cik Sofie Louise tealh viral di media sosial sejak malam tadi.
Majlis perkahwinan yang berlangsung secara tertutup malam tadi di Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan itu diadakan secara sederhana dan dihadiri oleh kaum kerabat terdekat istana dan sahabat handai baginda sahaja.
Rata-rata rakyat telah memuji perkahwinan diraja itu yang diadakan secara sederhana menggambarkan sifat baginda yang sukakan kesederhanaan.
Sebelum ini majlis perkahwinan berkenaan telah diumumkan oleh Ketua Istiadat Istana Kelantan, Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Datuk Tengku Feissal.
Tengku Faiz turut bertitah agar cenderamata-cenderamata sempena istiadat perkahwinan baginda disumbangkan kepada badan-badan kebajikan negeri Kelantan seperti Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK), rumah anak-anak yatim dan orang tua serta Persatuan Bulan Sabit Merah.
Sumber: KOSMO / Harian Metro / Bernama