Header Ads

Tak Tahan Bau Air Kencing Suami Yang Sakit Terlantar, Isteri Tergamak Tendang Kepala Dan Pukul Suami Dengan Penyapu..



BESUT: Seorang isteri dikatakan hilang pertimbangan dengan menendang kepala dan punggung suaminya kerana tidak tahan dengan bau air kencing lelaki tersebut yang sedang terlantar sakit di Kampung Gong Pasir, dekat sini, Jumaat lalu.

Tidak cukup dengan itu, wanita berusia 44 tahun itu didakwa turut memukul suaminya yang berusia 75 tahun menggunakan penyapu dalam kejadian pada jam 7 malam.


Menurut sumber, wanita tersebut turut mengacukan sebilah pisau ke arah anak perempuannya berusia 14 tahun yang tidak tahan melihat perbuatan ibunya dan cuba menghalang perbuatan suspek.

Dakwa sumber itu lagi, wanita tersebut bertindak memarahi suaminya yang terlantar sakit itu kerana tidak tahan dengan bau air kencing.

“Suspek yang memegang sebilah gergaji dan sebatang penyapu sebelum itu menendang kepala dan punggung mangsa sebelum memukul warga emas itu menggunakan sebatang penyapu,” katanya.


Perbuatan suspek dilihat anak perempuan mangsa lalu cuba menghalang tindakan suspek tetapi menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka.

Menurutnya, bengang dengan campur tangan anaknya, suspek mengambil sebilah pisau lalu mengacukan senjata itu ke arah pelajar Tingkatan Dua itu.

Remaja tersebut dikatakan meminta bantuan sepupunya sebelum dua beranak terbabit dibawa keluar dari rumah itu ke rumah sepupunya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, polis telah menahan suspek di rumahnya kira-kira jam 11 malam Sabtu lalu susulan laporan dibuat anaknya di Balai Polis Kampung Raja.

“Suspek kini direman selama tiga hari sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.-SinarHarian



No comments

Powered by Blogger.