Header Ads

‘Sindiket Penipuan Pakej Umrah Untuk Peneroka Felda.’ Lelaki Dalang Utama Penipuan Akhirnya Ditahan Polis..



KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai menjadi dalang sindiket penipuan yang menawarkan pakej umrah yang tidak wujud sehingga mengakibatkan kerugian RM139,871 di negeri ini, tahun lalu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, suspek berusia 40 tahun ditahan di sebuah Pangsapuri Birchwood Court Pingkiran Lembah Hijau 9, Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor kira-kira jam 8.30 pagi.


"Kita menerima sebanyak 21 laporan polis daripada mangsa penipuan berkenaan yang dilakukan oleh suspek sepanjang tahun lalu di Temerloh. Ia membabitkan kerugian sebanyak RM139,871. 

"Suspek dipercayai menjadi ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat yang menawarkan pakej umrah tidak wujud kepada peneroka," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, syarikat berkenaan dipercayai membuat taklimat dan penerangan pakej ditawarkan di Balai Raya Felda Lakum, Temerloh pada 11 Mei tahun lalu.


"Mereka didakwa menawarkan dua pakej umrah, iaitu pakej cuti sekolah dan pakej hari biasa. Ramai peneroka dipercayai terperdaya dengan tawaran diberikan.

"Suspek dipercayai memberi penerangan kepada penduduk di tanah rancangan berkenaan sebelum ada yang memilih untuk menyertai pakej cuti sekolah yang berharga RM7,550 seorang," katanya.


Katanya, suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dan akan bawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah reman.

"Kes ini disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya.

Sumber: Astro Awani

No comments

Powered by Blogger.