Header Ads

“Saya Membiasakan Diri Untuk Tidak Menggunakan Lif, Saya Lebih Suka Menaiki Tangga”, Antara Rahsia Hidup Cergas Tun Dr. Mahathir..



Berapa ramai di antara kita menaiki tangga untuk ke pejabat hari ini? Rasanya pasti kurang berbanding menggunakan lif. Tidak mengapa sekiranya pejabat anda berada di tingkat yang tinggi. 


Tetapi jika pejabat itu berada di tingkat dua, tiga atau empat, anda boleh sahaja menaiki tangga bukan? Mungkin cara Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri yang kita cintai ini, menjaga kesihatannya di usia 93 tahun akan membuat kita berfikir sejenak akan penjagaan kesihatan diri sendiri.


Menerusi satu temuramah bersama Astro Awani, Tun Dr. Mahathir telah mendedahkan bagaimana beliau akan sentiasa memantau status kesihatannya melalui beberapa ujian yang dijalankan ke atas dirinya sendiri, dan salah satu kegemarannya ialah dengan menaiki tangga. Sekiranya beliau boleh menaiki tangga, bermakna tahap kesihatannya masih berada di dalam keadaan yang baik.

Walaupun di kediaman dan pejabat Tun Dr. Mahathir disediakan kemudahan lif, beliau amat jarang menggunakannya.


Tun Dr. Mahathir berkata, “Sehingga kini saya masih menaiki tangga. Di pejabat saya (Yayasan Kepimpinan Perdana), terdapat 28 anak tangga untuk dinaiki. Saya membiasakan diri untuk tidak menggunakan lif. Di rumah kami, terdapat sebuah lif, tetapi kami jarang menggunakannya. Saya lebih suka menaiki tangga.”


Selain kekal dalam kehidupan aktif, Tun Dr. Mahathir sangat berdisiplin dalam menjaga pemakanannya. Tun Dr. Mahathir tidak pernah makan secara berlebihan, dan beliau akan berhenti makan sebaik sahaja berasa kenyang. Itu antara sebab mengapa beliau masih boleh memakai seluar yang beliau tempah dan beli sejak 35 tahun yang lalu.


Bersempena dengan hari ulang tahun kelahiran Tun Dr. Mahathir yang ke-93 pada 10 Julai 2018 yang lalu, Tan Sri Dr. Yahya Awang yang telah menjalankan pembedahan pintasan koronari jantung ke atas Tun Dr. Mahathir pada tahun 1989 dan 2007, telah dijemput oleh Astro Awani dalam rancangan “Doctors In The House” untuk menemuramah pasangan paling manis di Malaysia, Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah.


Dr. Yahya Awang berasa amat berbangga dengan Tun Dr. Mahathir yang masih kekal sihat serta berupaya memimpin negara pada usia 93 tahun. Dr. Yahya berkata, “Saya berasa amat kagum, Tun. Semasa Lee Hsien Loong (Perdana Menteri Singapura) melawat Tun baru-baru ini, saya melihat bagaimana Tun menaiki tangga di Yayasan Perdana. Saya amat berbangga dengan Tun, dan nampaknya pernafasan Tun berada dalam keadaan yang sangat baik.”

Dr.Yahya juga menyifatkan Tun Dr. Mahathir sebagai ‘pesakit contoh’ kerana beliau seorang yang sangat berdisiplin dan sentiasa mengikut arahan yang diberikan oleh doktor.

Kata Dr. Yahya, “Tun seorang yang sangat berdisiplin, yang akan mengikut setiap arahan yang diberikan oleh para doktor dengan baik. Beliau juga menjaga pemakanan dan dietnya.”


Jadi sebagai renungan dan teladan buat kita semua, jika mahu mengamalkan hidup yang kekal sihat dan cergas seperti Tun Dr. Mahathir, mulakan dengan melakukan senaman kecil seperti menaiki tangga ke pejabat serta makanlah secara sihat dan tidak berlebihan. Selamat Hari Lahir, Tun Dr. Mahathir! Semoga Tun sentiasa diberikan kesihatan yang baik, dan akan terus memimpin rakyat Malaysia ke arah kecemerlangan.

Sumber : World of Buzz

No comments

Powered by Blogger.