Header Ads

“Potong Elaun Ahli Parlimen Dan Siarkan Nama-Nama Anggota Yang Malas Hadir Dalam Akhbar Atau Media Sosial." Tan Sri Rais Yatim..



Persidangan Dewan Rakyat sesi petang hari ini tertangguh selama enam minit berikutan bilangan ahli Parlimen yang hadir tidak mencukupi korum.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam meluahkan rasa tidak puas hati dengan prestasi kehadiran menteri dan timbalan menteri di Dewan Rakyat. Tegasnya, wakil rakyat yang gagal hadir ke Parlimen perlu mengemukakan alasan yang kukuh.

Pada permulaan persidangan Dewan Rakyat sesi petang tadi, Datuk Alexander Nanta Linggi (PBB-Kapit) bangkit mempersoalkan kepada Yang Dipertua Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang mempengerusikan mesyuarat itu.


"Tuan Yang Dipertua. Saya hendak pastikan, adakah cukup korum? Apa menteri, timbalan menteri semua tiada ke?" soal Alexander.

Mohamad Ariff lantas membuat keputusan, "kita tempohkan dua minit sehingga cukup kuorum. Sila bunyikan loceng."

Berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 13(1), cukupbilang (korum) bagi Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa sebuah Majlis Mesyuarat hendaklah mengandungi 26 orang ahli dengan tidak termasuk Pengerusi.

Selepas loceng dibunyikan, Mohamad Ariff memaklumkan bahawa terdapat 36 Ahli Parlimen sekaligus membolehkan mesyuarat bersidang.

Image result for PM tak puas hati kehadiran menteri, timbalan menteri

Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 13(2) menyatakan:

"Jika siapa-siapa ahli menarik perhatian Pengerusi mengatakan tidak cukup bilang, maka hendaklah dipanggil ahli-ahli di luar Dewan Mesyuarat seolah-olah memanggil ahli kerana hendak diadakan belahbahagian.

"Setelah dipanggil ahli-ahli itu, maka Tuan Yang Dipertua, selepas genap dua minit, hendaklah membilang berapa orang ahli-ahli dalam Majlis Mesyuarat; jika tidak cukupbilang juga maka hendaklah ditangguhkannya mesyuarat itu hingga hari mesyuarat yang kemudian dengan tidak dikemukakan bagi diputuskan oleh mesyuarat."


Perkara itu turut mendapat perhatian dari bekas penasihat sosiobudaya kerajaan, Tan Sri Rais Yatim yang mencadangkan mana-mana ahli Parlimen yang malas hadir ke Dewan Rakyat disiarkan nama-nama mereka di akhbar dan media sosial, selain elaun bulanan mereka dipotong.

"Cara terbaik mengatasi masalah Dewan Rakyat yang tak cukup korum ialah potong elaun bulanan ahli Parlimen mengikut kadar arahan Jawatan Kuasa Pilihan Dewan. Kedua, siarkan nama-nama anggota yang malas hadir dalam akhbar atau media sosial," tulisnya di Twitter, hari ini.

Cadangan Rais itu turut disokong oleh Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub.

"Saya setuju elaun ahli Parlimen dipotong kalau mereka benar-benar tidak bertanggungjawab, sengaja ponteng Parlimen tanpa alasan yang kukuh. Tidak datang Parlimen, tidak berbahas, saya rasa munasabah untuk parti sendiri ambil tindakan.

"Jangan jadikan jawatan ahli Parlimen sebagai memenuhi kehendak peribadi," katanya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.


Bagaimanapun katanya, pemotongan elaun itu terpulang kepada peraturan Parlimen.

"Tapi sekiranya kita tak hadir Parlimen kerana tugas dan ada tanggungjawab seperti mesyuarat ataupun taklimat yang perlu hadir, jadi saya rasa itu satu perkara yang difikirkan oleh masyarakat.

"Jangan hanya keluar gambar pada waktu kosong itu kita dah buat kesimpulan. Tapi berilah peluang kepada ahli Parlimen untuk memperjelaskan kenapa mereka tidak hadir. Namun, dalam tempoh dua hingga lima tahun ini mungkin kita dah boleh mengukur siapa ahli Parlimen yang memang sengaja tak datang Parlimen ataupun perangainya yang datang angguk saja ataupun datang hanya untuk mendapat elaun saja dan prestasi mereka ini boleh dibaca, diukur dalam tempoh waktu dua tahun kita boleh dapat kenal pasti.

"Kalau kita rasa dalam rekod mereka seorang ahli Parlimen tak bertanggungjawab itu potong elaun satu perkara pada peraturan Parlimen tapi biar rakyat tahu ada satu tindakan atau rakyat boleh ukur," katanya.


Sumber: Sinar Harian

No comments

Powered by Blogger.