Header Ads

Manny Pacquiao Hadiahkan Peralatan Latihan Tinju Miliknya Sewaktu ‘Fight Of The Champions' Kepada Negara Malaysia..



KUALA LUMPUR: Legenda tinju Filipina, Manny Pacquiao yang baru dinobatkan sebagai juara welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA), akan menyumbangkan peralatan digunakannya semasa latihan untuk ‘Fight of the Champions' kepada kerajaan Malaysia.

Senator Filipina berusia 39 tahun itu ketika sidang media selepas menumbangkan peninju Argentina, Lucas Matthysse di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil, berkata sumbangan ikhlas itu adalah bagi mempromosi dan menggalakkan perkembangan tinju di negara ini.


“Saya sudah berbincang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan peralatan digunakan di Kuala Lumpur untuk latihan, kita akan dermakan. Kita juga berbincang untuk mempromosi tinju di Malaysia. Kita akan memulakannya,” katanya ketika ditanya sama ada beliau akan membuka akademi tinju di sini.

“Saya sukakan tempat ini, terima kasih atas keindahan dan kemudahan yang hebat di Kuala Lumpur. Saya berharap ia bukan pertarungan terakhir di bawah MP Promotions di sini, kerana ia antara pertarungan terbesar di Asia, disiarkan di lebih 200 negara. Kita berharap lebih banyak acara diadakan di sini,” katanya.

Pacquiao berkata, Malaysia dipilih sebagai venue pertarungan tersebut kerana beliau mahu mempromosi tinju profesional di Asia, memandangkan sukan berkenaan masih jauh ketinggalan berbanding rantau lain seperti Amerika Latin dan Amerika Syarikat.


Diberi jolokan ‘The Pacman', Pacquiao yang merupakan satu-satunya juara dunia bagi kesemua lapan divisyen, memenangi gelaran ke-12 tersebut selepas merampas tali pinggang welterweight WBA daripada peninju Argentina berusia 35 tahun itu, dengan kemenangan ‘technical knock-out (TKO)' pada pusingan ketujuh.

Matthysse yang turut dikenali sebagai ‘The Machine' kerana pukulan agresifnya, memenangi kejuaraan tersebut pada Januari lepas, setelah menumbangkan peninju Thailand Tewa Kiram.

Mengulas mengenai kemenangan tersebut, Pacquiao berkata, Matthysse mungkin tidak menggunakan pukulan kencangnya itu dan beliau terkejut dengan perubahan gaya pertarungan lawannya itu di bawah jurulatih baharu, Buboy Fernandez.


“Daripada pusingan pertama lagi, saya merasakan boleh memenangi pertarungan ini kerana strategi kita melepaskan tumbukan jika ada peluang dan tidak terburu-buru. Beliau juga mungkin terkejut kerana saya membuat asakan daripada sisi dan tidak bergerak ke sana sini.

“Untuk menjadi juara mesti berusaha keras, dedikasi dan semangat. Anda perlu beri sepenuh tumpuan semasa latihan dan mempunyai semangat tinggi. Saya tidak merasakan seperti berumur 39 tahun, saya merasakan dan kelihatan baru berusia 27 tahun,” katanya.

Image result for Pacquiao donates training camp equipment to Malaysia

Dr Mahathir; Presiden Filipina Rodrigo Duterte serta Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman, antara orang kenamaan dan terkenal menyaksikan aksi tersebut, yang dianggap pertarungan tinju terbesar di negara ini selepas pertemuan Muhammad Ali-Joe Burger di Stadium Merdeka pada 1975. - Bernama


No comments

Powered by Blogger.