Header Ads

Mahkamah Lanjutkan Tahanan Reman Pengasuh Naufal Amsyar Tiga Hari Lagi..


TANGKAK: Tempoh tahanan reman seorang pengasuh wanita yang dipercayai terbabit dalam kes bayi jatuh disambung tiga hari bermula Ahad.

Terdahulu, Polis Tangkak memohon Mahkamah Majistret melanjutkan tempoh reman suspek berusia 35 tahun itu selepas ditahan sejak Khamis lalu di Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.


Selasa lalu, bayi malang berusia 10 bulan itu dimasukkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar setelah dirujuk dari Hospital Tangkak apabila terdapat kesan lebam di dahi kiri, pendarahan mata selain retak tempurung kepala yang serius.

Selepas empat hari menerima rawatan, Naufal Amsyar Nabil Fikri menghembuskan nafas terakhirnya sekitar 9 pagi Sabtu.

Bayi itu dipercayai terjatuh dari buaian sebanyak dua kali sebelum ini ketika berada di rumah pengasuh di Taman Sialang, di sini.


Sementara itu, proses bedah siasat mayat bayi berkenaan bermula pagi tadi di Unit Forensik HPSF.

Pengarah HPSF, Dr Muhammad Yusof Sibert berkata, proses terbabit dilakukan pasukan perubatan forensik HPSF dengan bantuan pakar forensik dari Hospital Melaka.


“Seramai lima orang pasukan perubatan HPSF terlibat dalam proses itu termasuk pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan dan pembantu perawatan kesihatan.

“Proses itu diketuai seorang pakar dari Hospital Melaka serta masing-masing seorang pegawai perubatan dan pembantu perawatan hospital itu,” katanya. - Sinar Harian


No comments

Powered by Blogger.