Header Ads

"Di Depan Keluarga Saya, Ustaz Berjanji Akan Menjaga Kami Dengan Baik, Ustaz Juga Pernah Ambil Sumbangan Orang Ramai Yang Diberikan Kepada Kami.” Penghuni Rumah Anak-Anak Yatim Dianiaya, Turut Diberikan Makanan Tamat Tempoh..



DIBERI makanan basi, tidak dibenar ke sekolah dan dilayan secara kasar, itu antara dakwaan penghuni rumah anak yatim di Bachok.

Perbuatan itu yang sudah berlarutan beberapa tahun, terbongkar apabila bekas tukang masak di rumah anak yatim berkenaan tampil mendedahkan perkara itu bagi membela nasib anak-anak malang itu.


Wanita berusia 43 tahun itu berkata, dia mula bekerja di rumah anak yatim itu pada Februari lalu sebelum menyedari pengurusan di situ tidak menjaga kebajikan anak-anak yatim sewajarnya.

Katanya, antaranya menu yang disediakan hanya berasaskan telur, makanan yang sudah tamat tarikh luput dan hanya diberi makan dua kali sehari sehingga menyebabkan penghuni di situ kelaparan dan keracunan makanan, malah ada yang tidak diberi makanan langsung dalam sehari.


KEADAAN periuk nasi yang berkulat bukti kebersihan tidak dititikberatkan oleh pengurusan rumah anak yatim di Bachok. FOTO Nor Amalina Alias

"Jika ada lauk ayam sekalipun tidak mencukupi untuk semua penghuni sedangkan rumah berkenaan menerima banyak sumbangan bekalan makanan asas, minuman dan bantuan kewangan daripada pihak luar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Wanita itu berkata, lebih menyedihkan ustaz yang mengetuai pengurusan rumah anak yatim itu seolah-olah lepas tangan jika ada penghuni yang tidak pulang ke asrama, malah jika sakit juga tidak dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.


Beliau juga mendakwa keselamatan penghuni juga terancam kerana sikap ustaz berkenaan yang suka memukul dan mendenda mereka tanpa sebab munasabah seperti memaksa tidur di wakaf tanpa beralaskan apa-apa, dalam keadaan gelap dan sejuk selama seminggu.

"Saya sudah puas mengadu kepada pihak berkaitan, saya ada bukti bergambar, perbualan mesej, tapi tidak ada yang tampil membantu kerana mungkin mereka ingat saya mahu merosakkan reputasi ustaz itu, sedangkan saya buat semua ini kerana kasihan melihat anak-anak yatim ini menderita," katanya yang berhenti kerja di rumah anak yatim yang juga pusat tahfiz terbabit pada Jun lalu.


MAKANAN yang sudah luput tarikh diberi kepada anak-anak yatim di sebuah rumah anak yatim di Bachok. FOTO Nor Amalina Alias

Sementara itu, seorang anak yatim yang tinggal di rumah berkenaan berkata, pada awalnya seramai 60 penghuni tinggal di situ, namun kerana tidak tahan dengan layanan ustaz terbabit, mereka bertindak keluar dan kini hanya tinggal 24 orang saja yang tempat berlindung termasuk dirinya.

"Tahun ini paling teruk, ada ketika kami langsung tak diberi makan dan kena pandai-pandai cari makan sendiri, duit belanja sekolah tidak diberi, sumbangan duit raya kami juga ustaz ambil," katanya.

Rakannya pula mendakwa mereka diberi makanan yang luput tarikh dan pernah dijamu bihun goreng yang sejuk.


"Di depan keluarga saya, ustaz berjanji akan menjaga kami dengan baik, malah saya sendiri takut nak mengadu pada ibu kerana tahu ibu tiada tempat lain nak hantar saya kerana kami orang susah, tiada ayah," katanya.

Seorang lagi anak yatim berkata, dia tinggal bersama tiga beradik di rumah anak yatim berkenaan dan pernah dipaksa tidur di luar bangunan kediaman selama seminggu.

"Ustaz juga pernah ambil sumbangan orang ramai yang diberikan kepada kami, dalam RM800 seorang termasuk duit saya dan abang," katanya.

Sumber: Harian Metro

No comments

Powered by Blogger.