Header Ads

Bayi Usia 10 Bulan Jatuh Buai Di Rumah Pengasuh Meninggal Dunia..



MUAR: Seorang bayi lelaki 10 bulan yang parah pada kepala dipercayai terjatuh di rumah pengasuh, meninggal dunia selepas empat hari dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, kira-kira 9 pagi Sabtu.

Bapanya, Nabil Fikri Anwar, 28, memaklumkan perkara itu melalui aplikasi Whatsapp berkata, Naufal Amsyar, yang juga bayi tunggalnya itu telah pulang ke rahmatullah.


“Assalamualaikum. Mohon sedekahkan Al-Fatihah buat anak saya Naufal Amsyar Bin Nabil Fikri yang telah kembali ke rahmatullah pada 9 pagi tadi,” katanya.

Selasa lepas, bayi malang yang dijaga seorang pengasuh wanita berusia 35 tahun di Tangkak itu dimasukkan ke hospital selepas dipercayai diserang sawan.


Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam lama dan baharu pada dahi kiri bayi selain pendarahan pada bahagian mata serta keretakan tempurung kepala.

Susulan daripada itu, Khamis lepas polis menahan pengasuh terbabit bagi membantu siasatan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun, atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan. - BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.