Header Ads

Bayi Empat Bulan Meninggal Dunia Secara Mengejut Akibat Jangkitan Meningitis Daripada Individu Yang Tidak Mengambil Suntikan Vaksin Di Taska..


Pasangan Alex Dempsey dan Gabriel Schultz dari Richmond, Virginia berfikir yang bayi mereka, Killy Schultz hanya mengalami demam yang biasa ketika pulang ke rumah selepas mengambilnya dari pusat penjagaan kanak-kanak pada satu hari yang panas.


Alex dan Gabriel memberi Killy ubat demam Tylenol yang biasa, dan semasa mereka sedang menukar lampin pakai buang Killy, terlihat satu tompokan merah jambu di tubuh badannya yang kelihatan pucat. Pada mulanya Alex dan Gabriel berfikir ia hanya satu permulaan ruam lampin yang biasa seperti yang dialami oleh bayi lain.


Apabila demam Killy tidak kebah dan ia kelihatan semakin serius, pasangan ini telah membawa Killy ke unit kecemasan Hospital St. Mary di Richmond untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut. Semasa berada di hospital, tompok-tompok merah jambu di tubuh badan Killy semakin merebak dari dada sehingga ke muka dan bertukar menjadi lebih gelap.


Para doktor berkata yang mereka akan melakukan ujian terhadap saraf tunjang Killy bagi mengesan jangkitan meningitis. Beberapa jam kemudian, Killy telah dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik selepas bintik-bintik gelap itu telah merebak ke seluruh badannya. Tekanan darah Killy menjadi rendah dan keadaannya sangat lemah dengan matanya tidak lagi boleh dibuka.


Dalam masa 24 jam selepas tanda-tanda jangkitan meningitis dikesan, Killy telah disahkan meninggal dunia akibat jangkitan meningitis. Satu kehilangan mengejut dan tragedi buat pasangan Alex dan Gabriel.

Meningitis adalah satu jangkitan berbahaya yang memberi kesan kepada membran yang menyeliputi otak dan saraf tunjang pesakit. Ia mudah menyerang bayi, kanak-kanak dan remaja. Jangkitan bawaan bakteria adalah yang paling berbahaya dan mengancam nyawa. Seorang daripada lima belas orang kanak-kanak yang dijangkiti meningitis akan meninggal dunia.


Tanda-tanda jangkitan meningitis termasuk ruam dengan tompok merah, demam, berasa loya, pening, muntah-muntah, ketegangan di tengkuk dan kepala serta sakit di bahagian otot.

Tanda jangkitan biasanya akan timbul dalam masa tiga hingga tujuh hari selepas seseorang dijangkiti, dan dalam kes Killy tanda jangkitan meningitis akibat bakteria timbul lebih awal dan merebak dengan cepat.


Bayi seperti Killy yang masih lemah sistem imun dan tidak mendapat suntikan imunisasi dengan sepenuhnya akan terdedah kepada jangkitan bakteria dengan mudah dan jangkitan meningitis adalah yang paling berbahaya.


Dua hari sebelum hari kejadian, Alex telah membawa Killy ke klinik untuk mendapatkan suntikan imunisasi bagi bayi mengikut jadual yang biasa. Pada ketika ini, doktor mengesyaki Killy telah dijangkiti daripada pembawa bakteria tidak dikenali yang tidak menerima suntikan meningitis.

Pembawa ini mungkin tidak menunjukkan tanda-tanda ia telah dijangkiti meningitis yang telah dibawa melalui hidung dan mulut. Killy mungkin dijangkiti semasa dia berada di klinik ataupun ketika berada di pusat jagaan kanak-kanak.

Suntikan vaksinasi meningococcal bagi mengelak jangkitan bakteria meningitis perlu dilakukan terhadap kanak-kanak di Amerika Syarikat yang berusia antara 11 hingga 12 tahun dan pada usia remaja 16 tahun, satu dos tambahan akan diberikan.


Ibu Killy, Alex Dempsey yang terkilan dan masih berasa terkejut dengan kehilangan bayi ini telah berpesan kepada ibu bapa yang lain akan pentingnya mendapatkan suntikan vaksinasi, bagi tujuan melindungi diri sendiri dan juga orang lain di sekeliling mereka.

Katanya, “Bagi mengelak perkara ini dari berulang, kami mahu menasihatkan ibu bapa di luar sana supaya sedar akan kepentingan mendapat suntikan vaksinasi bagi anak-anak mereka. Killy hanya seorang bayi yang lemah, dan peluangnya untuk terus hidup tidak banyak.”

No comments

Powered by Blogger.