Header Ads

93 Orang Mat Rempit Terpaksa Menolak Motosikal Masing-Masing Sejauh 10 Kilometer Sebelum Dibawa Ke Masjid Untuk Menunaikan Solat Sunat Taubat..


Masalah ‘mat rempit’ dikatakan sudah menjadi barah dalam kehidupan remaja kerana ia masih berlarutan sehingga ke hari ini. Mereka bukan sahaja melakukan aksi lagak ngeri yang membahayakan nyawa mereka sendiri malah orang awam turut terkena tempiasnya.


Melihat betapa seriusnya masalah ini, seramai 93 orang mat rempit berusia 15 hingga 28 tahun ditangkap dalam Ops Samseng Jalanan yang bermula tengah malam semalam dan berakhir jam 7 pagi semalam, 13 Julai.


Menurut NST, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal berkata, operasi terbabit turut disertai pegawai dari Jabatan Pengangkutan Jalan, Pejabat Agama Daerah Langkawi dan Pejabat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah.


“Kami menyita 85 buah motosikal. Mat rempit tersebut diarahkan untuk menolak motosikal masing-masing sejauh 10 kilometer ke balai polis sebelum dibawa ke Masjid Al-Hana, Kuah untuk menunaikan solat sunat taubat,” kata Mohd Iqbal.

Untuk tujuan berkenaan, pihak masjid dikatakan telah menyediakan telekung untuk pesalah wanita dan kain pelekat untuk lelaki.



Menurut beliau lagi, daripada operasi tersebut sejumlah 103 saman turut dikeluarkan kepada 81 pesalah lelaki dan 12 pesalah wanita yang ditahan tersebut atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Dalam operasi tersebut juga, seorang anggota trafik berpangkat Sarjan mengalami kecederaan pada lutut dan tapak tangannya akibat terjatuh ketika cuba menahan kumpulan mat rempit berkenaan.


Diharapkan dengan terlaksananya hukuman berbentuk pengajaran seperti ini, mat rempit di luar sana membuka mata dan cuba untuk menghentikan aktiviti tidak sihat ini. Mungkin selepas ini, ada cadangan untuk pihak berkuasa supaya membawa pesalah tersebut ke kawasan perkuburan untuk tujuan pembersihan atau melakukan kerja-kerja amal kebajikan yang lain.

Sumber: World of Buzz

No comments

Powered by Blogger.