Header Ads

"Usah Perlekehkan Usaha Rakyat Derma Untuk Negara. Yang Tak Puas Hati Itu Mungkin Hatinya Sudah Hitam. ” Tabung Harapan Dibuat Atas Permintaan Rakyat..



“Jika negara kita milik kita semua dan bukan hanya milik ahli politik serta pembesar semata-mata, maka biar kita semua bekerja keras untuk menjaganya” - Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Setelah negara dipimpin oleh kerajaan baharu, segala maklumat dan pengumuman penting dinantikan oleh rakyat Malaysia. Pengumuman mengenai hutang negara yang telah mencecah RM1 trillion dari kepimpinan yang lalu mengejutkan rakyat. Bebanan ini bukan sahaja dirasai oleh pihak kerajaan malahan kepada rakyat.


Atas semangat cintakan negara, ada pihak yang mengusulkan agar satu tabung khas diwujudkan untuk mengurangkan beban hutang negara. Usul yang dikemukakan tersebut dipersetujui oleh Perdana Menteri dan beliau telah mengumumkan Tabung Harapan Malaysia sebagai satu platform rakyat untuk menderma. 

Pada jam 3 petang semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengatakan jumlah kutipan bagi Tabung Harapan Malaysia ini telah terkumpul sebanyak lebih RM7 juta. Jumlah sumbangan itu diperoleh kurang dari 24 jam selepas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan tabung berkenaan.

Walaupun pengumuman Tabung Harapan Malaysia ini disambut baik oleh rakyat Malaysia, namun ada juga individu-individu yang merasakan inisiatif ini adalah satu perkara yang memalukan pihak kerajaan dan juga menyusahkan rakyat. Tidak kurang juga ada yang mengkritik cara kepimpinan kerajaan baharu ini.


Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, mereka yang mengkritik itu mungkin lupa ataupun tidak tahu bahawa negara ini didirikan atas sumbangan derma rakyat pelbagai kaum.

Apabila Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman ingin pergi ke London pada tahun 1955 bagi menuntut British menganjurkan pilihan raya sebagai persiapan menjadi sebuah negara merdeka, beliau telah merayu derma daripada orang ramai ketika itu kerana tiada wang tambang perjalanan. Rakyat ketika itu, tidak mengira kaum dan agama, miskin ataukaya, lelaki perempuan, telah menghulurkan apa yang mereka mampu.

“Yang berduit serahkan duit. Yang bergelang emas, lucutkan gelang, yang bercincin pusaka tanggalkan cincin, sampai rantai mas kahwin pun diinfak untuk membolehkan Tunku pergi ke London.”

Orang miskin yang tidak mempunyai barang kemas juga tidak ketinggalan membuat Derma Merdeka itu. Mereka memberikan hasil kebun dan ladang, padi dan pisang, penoreh getah yang papa kedana menyerahkan getah sekeping daripada empat keping yang mereka peroleh setiap hari, ada yang berikan pakaian dan pelbagai benda yang mampu. Semuanya ingin melakukan sesuatu demi mencapai kemerdekaan tanah air tercinta.


Situasi ini bukan sahaja berlaku kepada negara kita, malahan negara luar turut merasai bebanan kewangan sebelum ini dan rakyat sebagai penyelamat negara pada ketika itu.

Pada tahun 1919, Stanley Baldwin yang pada ketika itu Setiausaha Kewangan Perbendaharaan UK (beliau telah menjadi Perdana Menteri pada tahun 1923) merayu kepada golongan berada negara itu untuk menyumbang ke arah melangsaikan hutang negara yang tinggi akibat Perang Dunia Pertama. Baldwin sendiri ketika itu telah mendermakan 20 peratus daripada harta keluarga beliau kepada negara.

Lapan tahun selepas rayuan Baldwin, seorang penderma yang tidak bernama telah menyumbangkan £500,000 kepada sebuah 'National Fund' (Tabung Kebangsaan) untuk tujuan tersebut. Oleh kerana jumlah derma terlalu sedikit berbanding hutang kerajaan ketika itu, maka dana Tabung Kebangsaan tidak disentuh. Hari ini Tabung Kebangsaan tersebut bernilai £400 juta.

Lebih dekat dengan kita, pada tahun 1998, semasa krisis kewangan Asia dan dibelenggu hutang International Monetary Fund (IMF), rakyat Korea Selatan berpusu-pusu menghulurkan barang-barang emas mereka - cincin, rantai, gelang, anting-anting, termasuk pingat emas kejohanan sukan sekali - untuk membantu kerajaan membayar hutang negara.


Peristiwa ini masih segar di ingatan rakyat Korea Selatan pada hari ini dan mereka mengimbas kembali dengan bangga bahawa apabila negara dalam kesusahan, rakyatlah yang tampil menyelamatkannya.

Image may contain: text

Tabung Harapan Malaysia tidak seharusnya dijadikan isu oleh sesiapa kerana tabung ini diwujudkan atas dasar keprihatinan rakyat Malaysia itu sendiri. Usaha ini seharusnya dipuji kerana mereka sanggup berkorban demi sayangkan negara yang tercinta.

VIDEO:



Sumber: mStar Online

No comments

Powered by Blogger.