Header Ads

“Tetapkan Had Umur Belia Kepada 30 Tahun.” Surat Terbuka Syed Saddiq Kepada KJ..



SHAH ALAM: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan beliau mempunyai perbezaan pendapat dan pandangan dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin.

Melalui satu surat terbuka ditujukan khas buat Ahli Parlimen Rembau itu, beliau teruja dengan pembentangan Dasar Belia Malaysianya.

Menurut Saddiq, idea untuk menetapkan had umur belia kepada 30 tahun adalah satu idea besar bagi memastikan aliran pemimpin-pemimpin belia boleh memberikan idea-idea yang segar untuk melengkapkan pembinaan negara kita.


“Namun hari ini, calon-calon baru Umno untuk pemimpin pemuda mereka adalah masing-masing berusia 42 tahun termasuk Asyraf Wajdi dan Khairul Azwan yang mana secara peribadinya saya amat menghormati mereka.

“Akan tetapi, calon-calon ini tidak memenuhi definisi belia yang dibentangkan, situasi diburukkan lagi apabila Jamal Yunos, seorang individu yang menyalahi undang-undang dan tidak menyerahkan diri kepada pihak berkuasa, juga mencalonkan diri untuk merebut Ketua Pemuda Umno, yang juga berusia 48 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ahmad Saddiq memaklumkan, ia adalah terpesong daripada apa yang dijanjikan Khairy pada tahun 2015 dan sekarang Dasar Belia Malaysia dilihat sebagai polisi populis hanya untuk menarik undi belia.

Katanya, itu adalah memalukan, Pemuda Umno sejak dahulu adalah tapak untuk orang baru dan yang melonjak naik untuk meletakkan diri mereka sebagai pemimpin akan datang yang boleh negara harapkan.


“Datuk Seri Hishamuddin berusia 38 tahun ketika beliau memegang posisi Ketua Pemuda Umno sebelum Khairy Jamaluddin mengambil tempat itu ketika beliau berusia 33 tahun.

“Terdapat trend yang ketara dan saya percaya trend memilih calon yang memenuhi kriteria definisi belia perlu sentiasa berterusan,” katanya.

Beliau percaya dalam usaha untuk mereformasi Umno, mereka perlu untuk menunjukkan dedikasi kepada belia.


“Keperluan untuk mengangkat dasar yang Khairy Jamaluddin sendiri gagaskan adalah satu kemestian.

“Cadangan ini bukan sahaja akan memberikan impak kepada Umno tetapi idea yang sama ini juga bakal memberi gelombang kepada parti-parti lain bagi mewujudkan satu gerakan persaingan sihat menarik bakat muda dan memberikan kedudukan pimpinan tertinggi kepada parti mereka,” katanya. - SinarHarian



No comments

Powered by Blogger.