Header Ads

"PDRM Kerjasama Polis Indonesia Buru Jamal Yunos" – Tan Sri Muhyiddin..



KUALA LUMPUR: Polis akan meminta kerjasama pihak berkuasa Indonesia untuk membantu memburu Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, yang dikatakan melarikan diri ke negara jiran itu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata tidak ada sebarang perlindungan yang boleh diberikan kerana Jamal sendiri mengetahui dia melanggar undang-undang.


"Nak lindung apa, dia tahu dia buat salah, kemudian melarikan diri. Saya minta Ketua Polis Negara (Tan Sri Mohamad Fuzi Harun) untuk memburu beliau.

"Katanya dia berada di Indonesia, kita minta kerjasama pihak polis di sana untuk cari beliau dan bawa balik ke sini. Kalau ada apa-apa kesalahan yang dilakukan, kita serah kepada pihak polis untuk ambil tindakan sesuai dengan undang-undang yang ada," katanya ketika ditemui sejurus menunaikan solat Isyak dan Terawih berjemaah di Masjid Jabatan Penjara Malaysia Kajang, di sini, malam ini.

Muhyiddin diminta mengulas 'kehilangan' Jamal sejak Jumaat lalu selepas diberikan ikat jamin polis tetapi tidak sempat menyelesaikan urusan itu.


Semalam, dalam satu rakaman video yang berlatar belakangkan kebun kelapa sawit, Jamal meminta Muhyiddin untuk memberi jaminan perlindungan kepadanya kerana mendakwa dirinya dianiaya.

Jamal juga tidak hadir di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya, hari ini selepas berjanji untuk tampil memberi kerjasama kepada pihak polis selain mengadakan sidang media selepas memberikan keterangan.

Terdahulu, Muhyiddin yang tiba kira-kira jam 6 petang meluangkan masa berbuka puasa serta solat Maghrib berjemaah masjid berkenaan.


Dalam majlis berkenaan, Muhyiddin menyampaikan sumbangan baju raya dan wang tunai kepada 30 anak yatim dari Pertubuhan Anak Yatim Sungai Jelok.

Turut hadir dalam Majlis Berbuka Puasa Kementerian Dalam Negeri Bersama Jabatan Penjara Malaysia itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli Omar, Mohamad Fuzi Harun dan Duta Arab Saudi ke MalaysiaMahmoud Hussen Saeed Qattan.

No comments

Powered by Blogger.