Header Ads

"Mahu Ikut Sunnah Nabi Katanya." Suami Kahwini Kanak-Kanak Usia 11 Tahun Sebagai Isteri Ke 3..



MAHU mengikut sunnah Rasulullah SAW. Itu alasan yang diberikan lelaki yang didakwa berkahwin untuk kali ketiga dengan kanak-kanak berusia 11 tahun, kepada isteri keduanya, Siti Nor Azila Zulkifle, 34.

Siti Nor Azila atau Effa Zulkifle berkata, suaminya menafikan dia sudah berkahwin dengan kanak-kanak terbabit dan memberitahu gambar perkahwinannya dengan isteri ketiga, telah disunting.


“Suami menafikan dia berkahwin dengan kanak-kanak berusia 11 tahun kerana katanya tidak munasabah walaupun sebenarnya dia memang sudah kahwin.

"Dia juga memberitahu bahawa gambar perkahwinannya dengan isteri ketiga yang saya dapat daripada isteri pertama, sudah disunting.

“Malah katanya, jika dia berkahwin lagi, itu kerana mahu mengikut sunnah Nabi SAW," kata Effa.

Menurut Effa, dia hanya mengetahui mengenai perkahwinan ketiga suaminya itu daripada isteri pertama, Noraini Che Nawi, 41, yang mengirimkan gambar perkahwinan suaminya itu melalui Whatsapp.

Noraini turut memaklumkan kepada Effa bahawa suami mereka berkahwin di Selatan Thailand pada Aidilfitri keempat (18 Jun) yang turut ditemani ibu kanak-kanak perempuan itu.


"Saya ada bertanya pada suami sama ada betul atau tidak dia berkahwin dengan kanak-kanak itu yang tinggal di Kampung Panggung Lalat, tetapi dia menafikan perkara itu.

"Saya tidak marah dia berkahwin lagi, namun tidak bersetuju kerana isteri baharu itu masih kanak-kanak dan berkawan dengan anak tiri saya berusia 15 tahun.

"Sebelum mereka berkahwin, saya ada dengar khabar angin daripada penduduk kampung bahawa suami akan berkahwin dengan budak itu tetapi suami tetap menafikannya," katanya ketika dihubungi, di Kota Bharu, hari ini.


Effa berkata, dia memuat naik status di Facebook semalam berhubung perkahwinan suaminya dengan kanak-kanak dengan niat mahu memberi pengajaran kepada suami dan orang ramai.

"Saya juga dimaklumkan perkahwinan suami dengan isteri ketiga berlaku kerana keluarga kanak-kanak itu terhutang budi dengan kebaikan suami.

"Saya reda dengan perkahwinan suami, namun berharap suami dapat menunaikan tanggungjawabnya dengan adil," katanya.

Sumber: Harian Metro

No comments

Powered by Blogger.