Header Ads

“Konon Wang Kiriman Ditahan Pihak Kedutaan Kerana Perlu Membayar GST.” Suri Rumah Hilang RM38,000 Ditipu Kenalan Facebook Dari AS..



KUANTAN: Rasa teruja untuk menerima wang USD20,000 (RM79,630) menyebabkan seorang suri rumah kerugian RM38,000 yang kononnya sebagai bayaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi menuntut wang itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supritendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 42 tahun yang beralamat di Raub itu mendakwa wang tersebut dikirim rakannya dari Amerika Syarikat yang dikenali menerusi laman sosial Facebook pada bulan lalu.


"Mangsa kemudiannya berbalas mesej menerusi aplikasi WhatsApp dan suspek yang mendakwa terharu mendengar kisah mangsa ingin memberikan wang USD20,000 sebagai duit belanja, yang mana mangsa bersetuju untuk menerimanya. 

"Suspek kemudiannya mendakwa telah membuat transaksi, namun wang tersebut ditahan pihak kedutaan kerana perlu membayar GST sebelum mangsa boleh mendapat wang itu," katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat. 


Mohd Wazir berkata bagi tujuan itu, mangsa telah membuat pindahan wang bermula 17 Mei lalu ke dalam dua akaun berbeza yang diberikan suspek sebanyak beberapa kali hingga berjumlah RM38,000 sebelum menyedari dirinya ditipu. 

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub pada Khamis dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan. - Bernama


No comments

Powered by Blogger.