Header Ads

Beg Tangan, Kasut Berjenama, Barang Kemas Antara Dirampas Dari 'Rumah Selamat' Najib..



Barangan mewah seperti beg tangan dan kasut berjenama serta barang kemas merupakan antara yang dirampas polis dari sebuah rumah di Presint 10, Putrajaya yang didakwa dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak lapor mStar Online.

Sebuah portal menggambarkan premis tersebut sebagai 'rumah selamat' Najib.

Menurut sumber, barangan tersebut sama dengan yang dirampas dari kediaman rasmi bekas perdana menteri, tetapi ia nampaknya "yang lama".


"Rumah tersebut digunakan seperti sebuah stor, jadi beg dan kasut yang disimpan di sini adalah lebih lama berbanding yang ditemui dalam serbuan-serbuan terdahulu," kata sumber.

Difahamkan, polis masih lagi membuat pengiraan mengenai anggaran nilai barangan mewah yang dirampas di premis tersebut.

Premis tersebut terletak kira-kira 200 meter dari Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri dan pemeriksaan yang dilakukan pada 11 Jun dipercayai mempunyai kaitan dengan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).


Pegawai-pegawai dari Bahagaian Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram Bukit Aman melakukan pemeriksaan di rumah tersebut, mencari dokumen-dokumen yang mempunyai kaitan dengan penggubahan wang haram dan penyelewengan dana.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman, Datuk Khalil Azlan Chik ketika dihubungi mengesahkan serbuan itu dikaitkan dengan 1MDB.

"Kita melihat aspek penggubahan wang haram dalam siasatan ini," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya sama ada terdapat serbuan lain akan dijalankan.


Serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, dengan pemeriksaan selama lebih dua jam.

Beberapa kotak dilihat dibawa keluar dari rumah tersebut dan dimasukkan dalam sebuah van putih.

Pasukan berkenaan beredar pada pukul 3.10 petang, dengan kira-kira lima pegawai polis memantau rumah tersebut.

Difahamkan Bahagian Pengurusan Harta Jabatan Perdana Menteri memiliki rumah tersebut.


Sumber: mStar Online.

No comments

Powered by Blogger.