Header Ads

“Anak Saya Angkat Telefon, Dia Kata Dalam Perjalanan Pulang Tetapi Jalan Sesak.” Gadis Hilang Selepas Keluar Beraya..


TUMPAT: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun hilang selepas keluar beraya ke rumah rakannya pada hari raya kedua lalu.

Nor Alea Adriana Zulbakri dari Kampung Kajang Sebidang disyaki keluarganya mengikut rakan lelakinya ke Besut, Terengganu.


Ibunya, Azizah Mohd Nor, 46, berkata, dia ada menghubungi anaknya pada malam kehilangannya dan diberitahu dalam perjalanan pulang dari Besut.

“Anak saya angkat telefon, dia kata dalam perjalanan pulang tetapi jalan sesak.

“Selepas itu apabila kami menelefonnya lagi, panggilan kami tidak berjawab,” katanya.

Azizah atau lebih mesra dipanggil Mak Adek berkata, sehingga ke hari ini anak bongsu daripada enam beradik itu masih tiada khabar berita.


Katanya, anaknya itu memakai baju kemeja Polo hitam lengan panjang dan seluar jean serta tudung biru tua ketika keluar dari rumah kira-kira pukul 3 petang pada Syawal kedua yang lalu.

“Telefonnya masih berfungsi, cuma dia tidak angkat telefon, mesej kami pula dibloknya.

“Saya berharap sangat sesiapa yang melihat anak saya ini dapat menyalurkan maklumat kerana kami risau keselamatannya,” katanya.


Menurutnya, dia mahu anaknya itu pulang ke pangkuan keluarga memandangkan dia masih lagi di bawah umur.

“Saya sudah membuat laporan polis kehilangan anak saya ini.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat di mana anak saya berada boleh hubungi 011-1795 3334,” katanya. - Sinar Harian

No comments

Powered by Blogger.