Header Ads

"Wanita Memang Kena Ada Pendapatan Sampingan. Sekurang-Kurangnya Dapat Meringankan Beban Ketika Memerlukan Atau Berdepan Musibah.” Serina Redzuawan..



KUALA LUMPUR: Pelakon, Serina Redzuawan, 35, menasihatkan golongan wanita supaya mengukuhkan ekonomi sendiri sebagai persediaan masa depan.

Katanya, setiap individu, terutama golongan Hawa, usah terlampau selesa hingga tidak menyimpan semata-mata disebabkan sudah mempunyai tempat bergantung.


"Wanita memang kena ada pendapatan sampingan. Kalau menjadi suri rumah pun, mereka perlu mengusahakan sesuatu sebagai sumber kewangan.

"Sekurang-kurangnya simpanan yang dibuat dapat meringankan beban ketika diperlukan atau tatkala berdepan musibah. Semua ini adalah pelan sokongan masa depan.

"Apabila kedudukan ekonomi kukuh, jika ditinggal suami pun, kita ada sokongan kewangan tanpa perlu meminta di sana sini. Persediaan sebegini juga untuk diri sendiri dan anak-anak," katanya kepada BH Online.

Serina, yang menyandang status ibu tunggal dua anak sejak 1 Ogos tahun lalu, mengakui sudah biasa berdikari sejak kecil sekali gus perpisahan dengan bekas suami, Gavin Edward O'Luanaigh atau Salahuddin Ghaffar, membuatkannya semakin kuat.


Katanya, sejak kecil dia sudah biasa berusaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan ibu bapa, malah berpengalaman melakukan pelbagai pekerjaan demi mencari rezeki sendiri.

"Saya diduga dengan macam-macam perkara sejak kecil. Ibu bapa saya bercerai ketika umur saya dua tahun. Tetapi, saya tak anggap ia sebagai masalah dan saya tidak salahkan mereka.

"Siapa yang berkahwin untuk bercerai? Saya jadikan perpecahan keluarga sebagai dorongan untuk membuktikan keupayaan diri. Kita tunjukkan kita juga boleh berjaya.


"Bapa pun tahu saya jenis kuat bekerja dan tidak suka meraih simpati. Di Instagram, orang berasa pelik sebab saya tak sudah-sudah dengan bisnes sedangkan bapa saya kaya. Selagi ada kudrat, saya tidak mahu bergantung kepadanya," kata anak Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail itu.

Menjadikan bapanya sebagai penasihat dan pembakar semangat, selain perniagaan, pelakon itu juga aktif dalam aktiviti berpersatuan apabila menubuhkan Celebrity Sports Club sebagai penggalak kepada golongan selebriti mengamalkan gaya hidup sihat.

Sumber: Berita Harian

No comments

Powered by Blogger.