Header Ads

(VIDEO) Jijik! Pekerja Celup Pinggan Dalam Lopak Air, Restoran Diarah Tutup..



KUALA LUMPUR: Restoran makanan daun pisang, Raj's Banana Leaf, diarah menghentikan operasinya serta merta selepas video menunjukkan pekerjanya mencuci pinggan menggunakan air lopak di tepi jalan belakang premis itu di Bangsar, viral semalam.

Timbalan Pengarah Bahagian Kesihatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Chandrakant Patel, berkata premis terbabit diarahkan tutup sehingga satu tarikh yang akan ditentukan kelak.


Katanya, penutupan adalah bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan berdasarkan syarat yang sudah ditetapkan untuk pengendali restoran ke atas premis berkenaan.

"Sebaik sahaja viral video berkenaan, kami hadir di premis ini hari ini untuk mengarahkan agar restoran ini ditutup serta merta sehingga dimaklumkan kelak.

"Bersama DBKL, dua lagi pihak iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Buruh yang turut hadir untuk menjalankan pemeriksaan berdasarkan bidang kuasa masing-masing.

"Berdasarkan pemeriksaan terakhir sebelum ini, restoran ini mendapat rating 'A' untuk kebersihan.

"Kita masih memeriksa pemilik sebenar restoran ini, setakat pemeriksaan awal, kita dapati premis berkenaan tidak mempunyai kawasan mencuci peralatan yang sempurna dan mengikut piawaian," katanya kepada pemberita, hari ini.


Semalam, viral sebuah video di media sosial dan aplikasi Whatsapp memaparkan pekerja didakwa daripada restoran makanan daun pisang, Raj's Banana Leaf mencuci pinggan menggunakan air lopak di tepi jalan.

Pihak pengurusan restoran berkenaan mengakui insiden itu membabitkan kakitangannya dan menjelaskan ia dilakukan oleh pekerja baharu.

Pengurusan restoran juga menegaskan sudah mengambil tindakan terhadap pekerja terbabit dan turut memohon maaf menerusi akaun Facebook rasminya.

Sementara itu, penduduk berhampiran yang ditemui di sekitar restoran itu mengakui agak terkejut dengan insiden itu yang berjaya dirakam individu tidak dikenali sebelum viral di media sosial.


Pemilik hotel, Patrick, 65, berkata dia pernah beberapa kali makan di restoran terbabit namun mengakui restoran itu mempunyai persekitaran yang bersih.

"Ia tidak sepatutnya berlaku, kebersihan itu bukan semata-mata membabitkan lantai, tandas dan kawasan restoran sahaja, malah kebersihan proses pengendalian makanan termasuk mencuci peralatan dapur perlu diberikan perhatian khusus," katanya kepada NSTP.

Pesara yang hanya mahu dikenali sebagai Lau, 70, menganggap perkara itu tidak boleh dimaafkan dan menyifatkan alasan yang diberikan pemilik restoran berkenaan tidak masuk akal.

"Saya tidak akan jejak kaki lagi di restoran ini, walaupun penjelasan diberikan serta janji untuk tidak mengulangi perbuatan ini dibuat, saya tidak akan beri peluang kedua.

"Kebersihan adalah perkara paling utama dalam aspek penyediaan makanan, tiada sebarang alasan boleh diberikan, berdasarkan pengalaman saya makan di sini, makanannya agak mahal dan tidak berapa sedap," katanya.

VIDEO:


No comments

Powered by Blogger.