Header Ads

(VIDEO) “Banyak 'Tikus' Dalam UMNO.”- Tok Mat..



SEREMBAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, mendakwa terdapat terlalu banyak pemimpin yang diibaratkan sebagai 'tikus' di dalam parti itu, termasuk wakil rakyat yang melompat parti.

Turut disamakannya dengan tikus, adalah pemimpin UMNO tertentu di peringkat bahagian yang mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri dengan mendesak pemimpin lain meletak jawatan bagi melindungi kelemahan sendiri.


"Apabila kapal pecah, maka bertempiaranlah tikus lari menyelamatkan diri. Bagus juga jadi seperti ini, kita tak mahu tikus ini ada lagi dalam UMNO, kita mahu pejuang yang setia dan bersatu hati.

"Kita mahu orang yang masuk UMNO bukan kerana mengejar peluang sebab ramai yang masuk UMNO sebelum ini sebab hendakkan peluang. UMNO perlu buat pembersihan dalaman.

"Walaupun kita akan hilang banyak ahli atau pemimpin, tapi biarlah, sekurang-kurangnya yang tinggal itu adalah teras," katanya pada sidang media pertama selepas BN kehilangan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di sini, hari ini.


Mengenai kekalahan BN secara keseluruhan, Mohamad yang juga bekas Menteri Besar, mengakui faktor Tun Dr Mahathir Mohamad memimpin Pakatan Harapan (PH) memainkan pengaruh besar menarik pengundi menyokong mereka.

Katanya, dasar yang tidak popular namun terpaksa dilaksanakan oleh kerajaan BN yang terdahulu selain peningkatan kos sara hidup juga memberi kesan negatif kepada parti itu.

Ditanya mengenai sentimen rakyat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Mohamad yang mengelak memberi komen panjang, berkata perkara itu jelas melalui keputusan PRU-14.


"Saya tak boleh jawab, tapi berdasarkan keputusan PRU-14, itulah pandangan rakyat terhadap Datuk Seri Najib," katanya.

Beliau berkata, formula diamalkan UMNO sebelum ini termasuk kerjasama dan pembahagian kerusi dengan parti komponen BN perlu dikaji semula bagi memastikan semua pihak benar-benar bekerja dan tidak hanya bertanding disebabkan mendapat kuota.

VIDEO:

No comments

Powered by Blogger.