Header Ads

(VIDEO) “Alhamdulillah, Selepas 12 Tahun Menyimpan, Akhirnya Saya Dapat Hadiahkan Rumah Ini Untuk Mak.” Syafie Naswip..


KUALA LUMPUR: Selepas hampir 12 tahun menabung, pelakon, Syafie Naswip, bersyukur apabila impian membelikan rumah buat ibunya, Noorsiah Ahmad, 53, tercapai.

Syafie atau nama penuhnya Mohammad Syafie Naswip, 26, berkata sudah lama dia berniat mahu berbuat demikian, malah mula menyimpan wang sejak pembabitannya dalam bidang seni pada 2006.


"Memang menjadi impian saya sejak dulu untuk membeli rumah buat ibu. Alhamdulillah, selepas agak lama juga menyimpan, akhirnya saya dapat beli kediaman jenis 'town house' di Nilai.

"Ibu sebenarnya tidak tahu mengenai perancangan saya dan dia memang terkejut apabila saya menunjukkan rumah berkenaan sambil memaklumkan ia adalah hadiah buatnya," katanya ketika dihubungi BH Online, hari ini.

Syafie turut berkongsi detik gembira itu di akaun Instagram miliknya dengan memuat naik foto dan video kejutan kepada ibunya bersama keluarga.

Ditanya bagaimana dirinya menguruskan wang sebelum mampu menghadiahkan kediaman buat ibu tercinta, Syafie berkata, dia akan membahagikan pendapatan kepada beberapa bahagian.


Kata Syafie, walaupun simpanan yang dibuat terlalu sedikit, dia percaya wang itu mampu mengubah kehidupannya pada masa akan datang.

"Saya selalu mengingatkan diri, simpanan sangat penting walaupun nilainya sedikit. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu ketika susah.

"Setiap kali menerima bayaran lakonan, saya cepat-cepat membahagikannya kepada perbelanjaan harian, simpanan kahwin, penyelenggaraan kereta dan aset.

"Tetapi, janganlah menyimpan sehingga menyeksa diri, sampai tidak dapat melakukan perkara yang kita suka. Selalunya, saya juga akan simpan sedikit untuk melancong," ujar pelakon filem Songlap itu.


Diusik dengan pertanyaan, adakah simpanan perkahwinan dibuat kerana dia sudah pun mempunyai perancangan bagi mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat, kata Syafie, ia sekadar persediaan.

"Simpan saja dulu. Saya belum terfikir untuk kahwin, kekasih pun belum ada," katanya.

VIDEO:


No comments

Powered by Blogger.