Header Ads

“Saya Niat Untuk Menaja Mereka Yang Kurang Berkemampuan Selepas Pertama Kali Saya Tunaikan Umrah Selepas Ditaja Oleh Hamba Allah."Nabil Tunai Janji Hantar Peminat Ke Tanah Suci..



KUALA LUMPUR: Artis serba boleh, Nabil Ahmad, 35, bersyukur niat menghantar tiga peminat mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah sempena menyambut kedatangan Ramadan menjadi kenyataan, kelmarin.


Tiga peminat yang terpilih, Zaharah Teh, 69, Zaime Abu Yamin, 47, dan Mohammad Shahrul Mohammad Nazal, 27, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka pulang ke tanah air pada 23 Mei ini.


Nabil yang turut menghantar tiga jemaah itu di KLIA berkata, dia sudah lama berniat melunaskan hasrat peminat yang kurang berkemampuan supaya berpeluang menjejakkan kaki dan merasai pengalaman manis di Tanah Suci.


"Saya pernah ditaja seorang hamba Allah ketika kali pertama menunaikan umrah. Setiap kali menjejakkan kaki di Tanah Suci, saya selalu berniat menaja mereka yang kurang berkemampuan untuk menikmati pengalaman sama.

"Alhamdulillah, saya mulakan dengan menaja tiga peminat dahulu. Saya lakukan semua ini bukan mahu menunjuk atau riak, tetapi Allah SWT dorongkan saya supaya ikhlas membantu mereka yang begitu teringin mahu menjejak kaki ke Tanah Suci," katanya.

Nabil yang berkongsi rezeki itu sempena ulang tahun ke-10 pembabitannya dalam industri hiburan berkata, tidak banyak yang dimintanya kecuali mereka hanya mendoakan kejayaan dan keberkatan untuk dirinya dan keluarga di dunia serta akhirat.


Nabil berkata, tiga peminat itu hanya membayar RM3,000 sebagai pendahuluan, selebihnya ditanggung pengacara program MeleTOP itu.


"Diikutkan, ada hamba Allah yang mahu menaja, tetapi menarik diri pada saat akhir. Jadi, saya bertanggungjawab sepenuhnya kerana sudah berjanji. Saya anggap ini sebagai saham akhirat.

"Saya keluarkan wang simpanan untuk menampung bayaran selebihnya. Ia menjadi hadiah istimewa kepada peminat sebagai penghargaan atas doa dan sokongan yang diterimanya selama sedekad dalam industri hiburan," katanya yang tidak berkesempatan bersama kerana terikat dengan beberapa tuntutan kerja.

Kredit: BH

No comments

Powered by Blogger.