Header Ads

Polis Rekod Keterangan Anak Perempuan Najib..

Tindakan pasukan keselamatan merampas barangan peribadi di sebuah kondominium di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur tidak disenangi. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Polis pada Selasa merekod keterangan Nooryana Najwa, anak perempuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, susulan laporannya berhubung tindakan polis memasuki dan merampas barang miliknya di sebuah kondominium mewah di Jalan Raja Chulan, di sini.

Sumber polis berkata wanita berkenaan membuat laporan polis pada Isnin kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pasukan keselamatan itu merampas barangan peribadinya, yang didakwa diterima sebagai hadiah perkahwinan.


"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul telah menerima laporan wanita berkenaan.

"Bagaimanapun pegawai polis IPD Dang Wangi yang hadir untuk merekod keterangannya berikutan kawasan kediaman wanita itu terletak di bawah daerah terbabit," kata sumber itu di sini.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharuddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Tinjauan pada Selasa mendapati empat pegawai dan anggota polis menaiki sebuah kereta Proton Preve memasuki kediaman peribadi Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan, di Jalan Langgak Duta pada 11 pagi.


Pada 18 Mei lepas, polis merampas 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis matawang dan barangan berharga di kondominium mewah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Najib, sebagai sebahagian daripada siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain itu, sebanyak 284 kotak yang mengandungi beg tangan pelbagai jenama mewah turut dirampas dari tiga unit kediaman di kondominium di Jalan Raja Chulan itu.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.