Header Ads

'Pencemaran Bahan Kimia Dan Kutipan Tidak Terkawal, Hasil Kerang Semakin Merosot, Kerang Dijangka Pupus 3 Tahun Lagi.' Ketua Pengarah Perikanan..



Tiga tahun lagi hidupan kerang di Malaysia berdepan ancaman kepupusan atau hanya tinggal sejarah berdasarkan trend kemerosotan pengeluaran sumber itu pada masa kini.

Image result for kerang pupus

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi berkata, hidupan itu kini terancam dengan pelbagai faktor yang menyebabkan tekanan kepada pembiakan dan tumbesaran kerang termasuk perubahan suhu, kealkalian atau keasidan air, rendah kandungan oksigen, pencemaran bahan kimia serta aktiviti kutipan tidak terkawal.


“Jika kita lihat 10 tahun kebelakangan ini, perubahan ketara jumlah pendaratan kerang amat membimbangkan bermula 2010 hingga 2016 penurunan amat tinggi iaitu sebanyak 80 peratus.

“Misalnya di Perak kemerosotannya mendadak kepada 7,000 tan metrik saja berbanding 70,000 tan metrik pendaratan kerang pernah direkodkan pada 1995 manakala Pulau Pinang kesannya ketara juga apabila pada 2016 jumlah pendaratan tidak sampai 2,000 tan metrik berbanding 16,000 tan metrik (1996).


“Kalau ikutkan peratusan penurunan ini sangat serius, dijangkakan tiga tahun lagi mungkin kerang boleh pupus sebab itu kami buat pelbagai langkah untuk meningkatkan pengeluaran kerang di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Perikanan mengambil menambah baik Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002 bersama pihak berkepentingan.


“Dalam menangani isu pencemaran kami kena pastikan kawasan penternakan bebas daripada pencemaran, justeru kami harap bukan hanya jabatan ini tetapi agensi lain boleh mengawal keadaan bagi mengatasi isu ini.

“Kami meminda peraturan sedia ada untuk menambah baik kerana pemuliharaan kerang membabitkan penguatkuasaan, semakan perundangan, peraturan atau dasar, selain ada pelan pengurusan lain yang dibangunkan dari semasa ke semasa.

“Pada masa sama, kami melihat semula peraturan penuaian benih kerang tidak melebihi saiz 4 milimeter (mm) ditukar kepada 6mm serta peraturan bagi kerang dewasa bersaiz minimum 25mm belum cukup matang untuk dikutip kerana sebenarnya boleh membesar lagi kepada 33mm dan berpotensi dijadikan baka,” katanya.

Katanya, bagi kawalan aktiviti kutipan kerang pihaknya memfokuskan tiga perkara iaitu kawasan kutip, benih dan baka bagi menjamin kemampanan dan kelestarian kerang di negara ini.


“Kami memperuntukkan kawasan benih adalah kawasan dibenarkan kutip benih dan tabur semula benih. Ada juga kawasan baka kita khususkan bukan untuk kutipan tetapi mengeluarkan benih terus.

“Kami mempertimbang peraturan baru seperti penutupan musim tangkapan ke atas kerang yang diternak terutama pada musim pembiakan supaya induk kerang sempat membiak sebelum dituai.

Image result for kerang pupus

“Selain itu, peraturan satu kawasan khusus bagi melindungi induk dewasa liar kawasan tepi pantai bagi menjamin bekalan anak benih berterusan serta usaha penyelidikan secara komprehensif akan diteruskan bagi memastikan penemuan baru dapat dihasilkan termasuk memperkenal kaedah baru penuaian kerang lebih mesra alam,” katanya.

Munir berkata, usaha pembenihan di kawasan janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) dipertingkatkan terutama di lokasi yang dikenal pasti sebagai tempat pembenihan kerang.

“Daripada kajian Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) kami dapat satu penemuan baru yang membolehkan kami merangsang penghasilan benih mengikut musim dan waktu tertentu dengan menggunakan suhu.


“Jadi, kami sedang melihat bagaimana mengeluarkan benih ini menggunakan kaedah ternakan dalam tangki pada masa akan datang.

“Bagi mengelak kematian kerang akibat berlapis, kami bercadang melaksanakan ternakan kerang komuniti di negeri lain seperti dilakukan di Johor sejak 2014.

“Kaedah ini memberi peluang kepada pengusaha di Johor menjana pendapatan hingga RM1,000 sehari apabila mampu mengutip 200 hingga 500 kilogram sehari dan ada antara mereka menjual RM4 hingga RM5 sekilogram di tapak,” katanya.

Katanya, mereka masih mengguna pakai peraturan sedia ada keutamaan mengusahakan kerang hanya diberikan kepada kumpulan nelayan kecil saja bagi membantu menambah pendapatan golongan itu bukan untuk tujuan komersial.

“Kerang ialah satu aktiviti yang diberi kepada nelayan dalam usaha menambah dan mempelbagaikan pendapatan mereka.

“Namun, sampai ke satu tahap apabila kerang ini sudah sampai peringkat komersial (banyak dalam negara) tidak mustahil kami boleh panjangkan perkara ini supaya diusahakan syarikat secara komersial.

“Bagaimanapun, buat masa ini peraturan sedia ada menetapkan perusahaan dan kutipan hasil kerang hanya dikhususkan untuk nelayan saja dengan menggunakan lesen khas,” katanya.

Sumber: Harian Metro

No comments

Powered by Blogger.