Header Ads

Ketua Sami Berikrar Serahkan Jasadnya Kepada Um Supaya Organnya Dapat Digunakan Dalam Bidang Perubatan Dan Sains, Selepas Mati..



GEORGE TOWN: Bersempena sambutan Hari Wesak hari ini, ketua sami Kuil Buddha Mahindarama di sini berikrar menyerahkan seluruh jasadnya kepada Universiti Malaya bagi membolehkan semua organnya digunakan dalam bidang perubatan dan sains, selepas kematiannya.

E Indaratana Maha Thera berkata hajat terakhir beliau adalah untuk menyerahkan jasadnya kepada dunia dan berbakti kepada mereka yang sakit serta golongan tua dan tidak bernasib baik.


"Saya lahir dan membesar dalam keluarga miskin tetapi mendapat bantuan serta sokongan yang tidak terkira banyaknya daripada orang lain. Maka, saya ingin melakukan perkara serupa dengan menabur bakti serta membantu mereka yang memerlukan bantuan," katanya.

Menurut setiausaha kuil itu, Dr Surya Dharamdass, ini merupakan kali pertama seorang sami berikrar untuk menyerahkan seluruh jasadnya sebagai sumbangan kepada masyarakat .


Beliau juga berkata sambutan Hari Wesak tahun ini cukup bermakna bagi kuil itu kerana ia bertepatan dengan ulang tahun ke-100 penubuhannya.

"Pengunjung bukan sahaja datang ke kuil ini untuk bersembahyang kepada Buddha, tetapi juga untuk menghayati warisan peninggalan Samma Sambuddha berasal dari Sri Lanka dan India," katanya.

Mereka juga berpeluang melihat sebuah kereta berhias bertemakan Taman Lumbini, tempat kelahiran Buddha, terletak di kuil itu.


Kereta berkenaan dihiasai dengan beberapa bunga teratai yang satu daripadanya berukuran sekurang-kurangnya 3.04 meter tinggi di samping beberapa ukiran dihasilkan oleh para sami dari Sri Lanka.

Kereka berhias itu akan menyertai 19 kereta berhias lain dari seluruh Pulau Pinang dalam perarakan sejauh 7 kilometer bertemakan 'Masyarakat Harmoni Melalui Toleransi dan Persefahaman', yang akan bermula pada 7 malam ini dari premis Persatuan Agama Buddha Malaysia di Jalan Burmah dan berakhir di tempat sama.

Sumber: BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.