Header Ads

‘Kegembiraan, Kasih Sayang Dan Saling Hormat Menghormati.’ Tiga Elemen Yang Akan Diterap Dalam Sistem Pendidikan..



KLUANG - Kementerian Pendidikan akan mewujudkan tiga elemen budaya untuk diserapkan dalam sistem pendidikan di negara ini iaitu kegembiraan, kasih sayang dan saling hormat menghormati.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, elemen budaya itu perlu diberi penekanan dan akan diterapkan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran bermula di peringkat sekolah rendah hingga ke universiti.


“Saya tekankan tiga pokok utama ini sepanjang lima tahun ini dan berharap ia akan berterusan iaitu kita hendak bawa pertama kegembiraan, kedua kasih sayang yang mana kita saling berkasih sayang misalnya cikgu dengan murid, murid sesama murid, guru sesama guru di antara berlainan bangsa dan agama.

“Sebab itu, kita galakkan banyak kerja-kerja ‘volunteerism’ dilaksanakan, ia bukan jadi dasar tapi budaya. Dan elemen ketiga saling hormat-menghormati sebab bila kita saling hormat-menghormati, ia akan datang kasih sayang dan kita akan gembira.

“Perkara ini akan jadi tonggak dasar dalam sesi pengajaran dan sesi pembelajaran di sekolah,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian bantuan kepada golongan asnaf di Masjid Al-Huda Bandar Baru Ibrahim Majid, Simpang Renggam, dekat sini, hari ini.


Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, penerapan tiga elemen budaya itu akan memudahkan seseorang belajar bahasa khususnya Bahasa Inggeris disebabkan ada nilai hormat-menghormati, kasih sayang dan kegembiraan.

Menurutnya, menerusi elemen yang diwujudkan itu secara tidak langsung dalam menghapuskan budaya curiga-mencurigai, prejudis, dengki serta budaya tidak percaya.

“Dengan penerapan elemen ini ianya akan memudahkan kementerian melaksanakan sistem pendidikan berteraskan teknologi dan penekanan berkaitan Bahasa Inggeris,” katanya.


Terdahulu, Maszlee menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Huda Bandar Baru Ibrahim Majid dan memberikan tazkirah kepada jemaah seterusnya menyampaikan sumbangan bantuan.

Dalam majlis berkenaan, seramai 40 golongan asnaf di sekitar kawasan Bandar Baru Ibrahim Majid menerima bantuan barangan keperluan.


Sumber: Sinar Harian

No comments

Powered by Blogger.