Header Ads

“Kami Tidak Sangka Akan Bertahan Sehingga 25 Tahun” – Kru Pasti Di Rindui…




SAAT kaki melangkah masuk ke Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada malam pertama Konsert Gergasi KRU25 berlangsung, terbit rasa kagum.

Masakan tidak, Panggung Sari sesak dengan peminat. Kesemua tiket sekitar 1,412 yang perlu diisi tetamu, terisi kemas.Malah, ramai kecewa kerana tidak dapat menonton kerana tiket habis dijual. Begitu hebat penangan trio otai ini.

Selain kerana status legenda KRU, pengumuman pembubaran kumpulan yang berusia 25 tahun itu juga antara faktor peminat tidak mahu melepaskan peluang untuk mengukir memori terakhir bersama KRU.

Tidak boleh menolak hakikat, menyaksikan persembahan terakhir mereka adalah sebuah memori yang cukup manis untuk disimpan kemas buat peminat setia KRU. Tempoh dua jam dirasakan pantas berlalu kerana persembahan yang cukup hebat daripada Norman, Edry dan Yusry. Sehingga sewaktu dua jam persembahan harus berlabuh dengan hit Fanatikdidendangkan, peminat masih mahu KRU berada di atas pentas memberi hiburan lagi kepada mereka.

Kebanyakan peminat dilihat enggan melepaskan KRU sebagai sebuah lipatan sejarah kerana ada antara mereka turut menitiskan air mata apabila mereka memberitahu ini merupakan konsert terakhir sebelum kumpulan tersebut dibubarkan.

“Kami tidak sangka akan bertahan sehingga 25 tahun. Konsert terakhir ini bukan dibuat untuk perpisahan dengan peminat tetapi juga sebagai memori peribadi untuk kami simpan.

“Saat kami beritahu ingin bersara ramai yang memberi respons dalam media sosial. Sebenarnya, kami pun sedih hendak meninggalkan industri hiburan sebagai penyanyi.


“Setiap lagu yang kami dendangkan hari ini membawa makna dan memori. Diharap selepas ini peminat akan teringat pada kami setiap kali mendengar lagu KRU,” kata Edry di atas pentas.

Biarpun sudah berusia dan tidak lagi mampu menari serancak dahulu, KRU tetap berada pada tahap eksklusif. Norman, 48, misalnya masih mampu memukau peminat dengan nyanyian rap.

Edry, 42, masih kekal sebagai ‘pelawak’ kumpulan tersebut. Seperti biasa Edry akan bercakap paling banyak dan bijak untuk mencuit hati penonton dengan kisah KRU yang tidak pernah diceritakan kepada khalayak sebelum ini.

Yusry, 45, pula masih diangkat sebagai ‘wajah’ dan ‘pelaris’ KRU. Akui Norman, KRU semakin popular apabila mereka menukar strategi dengan ‘menjual’ Yusry sebagai penyanyi utama.

“Pada mulanya orang susah untuk terima KRU kerana genre yang kami bawakan agak berbeza. Namun, situasi berubah apabila kami letakkan Yusry sebagai penyanyi utama.

“Dia mempunyai ramai peminat. Namun, Edry juga ada kelebihan tersendiri,” kata Norman dalam tawa.


Energi


Bercakap soal energi bukan sahaja KRU, malah peminat yang hadir wajar dipuji. Mereka yang hadir tanpa perlu dipinta menjadi ‘penyanyi latar’ untuk lagu pertama sehingga terakhir.

Situasinya tidak ubah seperti sesi karaoke beramai-ramai tanpa bantuan lirik kerana semua yang hadir sudah dapat menghafal dengan baik bait-bait lagu milik kumpulan yang pertama kali muncul dalam industri muzik tempatan dengan album Canggih pada tahun 1992.

KRU pula cukup hebat di pentas dengan vokal dan tarian. Meskipun ada ketika mereka dilihat terlalu mencuba untuk menari dan terlihat canggung, namun syabas kerana berusaha keras untuk membuatkan peminat mengimbas zaman muda remaja.

“Semua peminat yang hadir membesar dengan lagu kami. Jika dahulu yang datang menonton persembahan semuanya kecil-kecil dan remaja. Sekarang semua sudah dewasa dan berusia sama seperti kami,” kata Edry.

Menyanyikan 16 buah lagu popular seperti Awas, Oh La! La, The Way We Jam, Terhangat Di Pasaran, Mengerti, Jangan Lafazkan, Apa Saja dan Janji Tinggal Janji telah menyuntik adrenalin penonton ke tahap maksimum.

“Sepanjang 25 tahun kami telah hasilkan 13 buah album. Malah, kami ada lebih 100 buah lagu.

“Hendak menyanyi semua lagu dalam sebuah konsert berdurasi dua jam memang tidak cukup masa. Jadi, kami cuba yang terbaik dan menyanyikan lagu-lagu wajib khas buat peminat.


Sebelum ini kami pernah mengadakan konsert di Singapura dan menyanyikan lagu penyanyi lain yang dicipta oleh KRU. Hasrat untuk menyuntik kelainan, sebaliknya kami mendapat kritikan. Oleh sebab itu, untuk konsert terakhir ini kami menyanyikan lagu KRU sahaja,” tutur Yusry sambil disambut tepukan gemuruh oleh penonton.

Imbasan

Disebabkan ia merupakan konsert terakhir, KRU menggunakan peluang untuk berterima kasih kepada semua individu yang membantu dalam perjuangan muzik mereka

Antaranya penari iringan mereka yang dinamakan Dance Crew dalam sebuah segmen tribute. Peminat juga dibanjiri dengan pelbagai emosi apabila gambar-gambar lama KRU bersama Dance Crew ditayangkan di skrin.

“Dance Crew sentiasa ada dengan kami tidak kira waktu senang atau susah. Mereka juga menjadi pelengkap dalam setiap persembahan kami.

“Tanpa mereka KRU terasa kosong. Oleh itu, kami ingin berterima kasih kepada mereka. Saya berbesar hati kerana Dance Crew turut bersama menonton konsert ini, cuma mereka tidak lagi mampu menari bersama kerana faktor usia. Kebanyakan mereka semua lebih tua daripada KRU sendiri,” tutur Norman.

Selain itu dalam konsert ini buat pertama kalinya KRU mendendangkan lagu Di Pintu Syurga duet bersama Elite secara langsung.

Mereka menyanyikan lagu Di Pintu Syurga itu bersama dua penyanyi latar wanita.
Secara keseluruhan, Konsert Gergasi KRU25 berlangsung dengan cukup gemilang. Tiada cacat cela tetapi sayangnya ia sebuah konsert terakhir sebelum nama KRU dipadamkan sebagai sebuah kumpulan.

Biarpun tiada lagi KRU selepas ini, mereka bertiga akan sentiasa berada dalam hati peminat.
Seperti kata Edry yang terhutang budi dengan sokongan peminat, begitu juga dengan pencinta mereka. Terima kasih kerana hadir memberi warna bukan sahaja dalam industri hiburan muzik tempatan tetapi sebagai kenangan indah masa silam setiap peminat.














kedit K online

No comments

Powered by Blogger.