Header Ads

“Hargai Jasa Guru Al-Quran Dan Juru Urus Jenazah Serta Penggali Kubur.” Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir..



KERAJAAN Negeri Kedah akan terus menghargai jasa guru Al-Quran sukarela dan juru urus jenazah serta penggali kubur di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, beliau mahu ilmu dan kemahiran golongan yang tidak ‘didendang’ ini dikenang oleh semua peringkat masyarakat walaupun kini pembelajaran agama dikuasai penggunaan teknologi.


“Kini peranan mereka makin mengecil kerana ada Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dan guru J-Qaf, namun saya mahu peranan mereka terus diberi tempat di kampung mereka.

“Disebabkan itu juga saya meneruskan tradisi yang pernah saya lakukan dulu dengan memberi sumbangan kepada mereka pada setiap Ramadan,” katanya kepada media.


Beliau ditemui selepas menyerahkan sumbangan dan berbuka puasa bersama penduduk di Masjid Al-Ubudiah Kampung Weng, Baling, semalam.

Turut hadir, Pegawai Daerah Baling, Datuk Md Shuhaime Abd Rahman.


Pada majlis itu, lebih 100 penduduk termasuk mangsa banjir yang melanda daerah ini baru-baru ini menerima sumbangan daripada Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) dan Pejabat Daerah Baling.

Terdahulu ketika ditanya mengenai lantikan Speaker Dewan Undangan Negeri, Mukhriz berkata, perkara itu akan dibincang dalam mesyuarat nanti.

“Saya akan masuk dalam mesyuarat perkara itu,” katanya ringkas.

No comments

Powered by Blogger.