Header Ads

‘Dua Biji Tembikai Dijual Pada Harga RM116,400.’ Rekod Buah-Buahan Paling Mahal Di Jepun..



Tokyo: Dua biji tembikai premium dijual pada harga 3.2 juta yen (RM116,400), sekali gus memecahkan rekod buah-buahan paling mahal dalam acara lelongan di Jepun, semalam.

Buah-buahan bermusim sering dibeli dengan harga tinggi oleh pembeli di Jepun yang mahu menonjolkan status sosial atau pemilik kedai yang mahu menarik kedatangan pelanggan.


Sebuah syarikat pembungkusan buah-buahan tempatan berjaya membeli tembikai Yubari pertama yang dilelong tahun ini di Pusat Pasar Borong Sapporo di utara Hokkaido.

Harga tembikai itu cukup untuk membeli sebuah kereta baru di Jepun dan mengatasi rekod buah paling mahal sebelum ini, iaitu tiga juta yen (RM109,124) yang dicatat dua tahun lalu.


“Tembikai Yubari tumbuh dengan subur tahun ini kerana jumlah jam cahaya matahari yang tinggi sejak Mei lalu,” kata pegawai pasar borong, Tatsuro Shibuta.

Buah itu dianggap simbol status di Jepun, sama seperti wain yang dibeli sebagai hadiah.


Tembikai Yubari yang berkualiti tinggi dinilai berdasarkan corak yang sekata pada kulitnya.

Batang berbentuk T yang terdapat pada buah itu biasanya dijual dalam kotak untuk dijadikan tangkal.

Buah-buahan biasa juga mahal di Jepun kerana sebiji epal dijual pada harga AS$3 (RM12). - AFP

No comments

Powered by Blogger.