Header Ads

(VIDEO) Usaha Gigih Tanpa Berputus Asa! Akhirnya Bapa Sebak Menerima Panggilan Anak Perempuan Yang Dirindui Selama 24 Tahun..



Sepasang suami isteri kehilangan anak perempuan mereka yang didakwa telah diculik 24 tahun lalu di Chengdu, wilayah Sichuan, China. Sejak kehilangannya, pasangan ini tidak pernah berputus asa mencari dengan pelbagai usaha telah dilakukan oleh mereka. Sehingga pada satu hari, si bapa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita dan telah membuat dirinya menjadi begitu sebak.


Wang Mingqing dan isterinya Liu Dengying sedang menguruskan gerai buah-buahan milik mereka sebelum menyedari anak perempuan mereka yang bernama Qifeng telah hilang, 24 tahun lalu. Pada waktu itu, Qifeng baru sahaja berusia 3 tahun.


Pasangan suami isteri ini menjadi begitu sedih dengan kehilangan anak mereka namun mereka tidak pernah berputus asa mencarinya selama 24 tahun dengan harapan satu hari mereka akan bertemu juga dengan anak perempuan kesayangan mereka.

Selepas kehilangan Qifeng, Wang Mingqing berkata, dia mencari anak perempuannya ini dengan gigih dan tidak mengira masa sehingga akhirnya Wang menjadi pemandu teksi untuk memudahkan dirinya bergerak dan mencari anak perempuannya dengan lebih meluas lagi.


Wang juga turut mencetak maklumat Qifeng di atas kad perniagaannya dan telah mengedar kad ini kepada para pelanggannya dengan cetakan yang sudah melebihi 17 ribu keping. Selain itu, poster pencarian Qifeng telah ditampal di cermin belakang teksi yang dipandunya.



Wang Mingqing berkata, “Mungkin satu hari kelak, anak perempuan saya akan menaiki teksi yang dipandu oleh saya ini.”

Kisah kegigihan Wang berusaha mencari anak perempuannya yang hilang telah mendapat perhatian masyarakat dan media sehingga pada awal tahun ini, seorang artis lakaran yang mendapat tahu kisah ini telah sudi untuk menawarkan bantuan dengan membuat lakaran wajah Qifeng yang sudah dewasa. Lakaran wajah itu telah diedarkan secara meluas.



Sementara itu, seorang wanita bernama Kang Ying yang berusia 27 tahun telah dibesarkan oleh sebuah keluarga angkat di Chengdu yang kediaman mereka terletak 12 batu dari tempat kehilangan Qifeng. Apa yang dia tidak tahu, selama ini dirinya telah dicari oleh kedua-dua ibu dan bapa kandungnya tidak kira siang dan malam.

Qifeng hanya mengetahui bahawa dia telah dibesarkan sebagai anak angkat dengan anggapan bahawa kedua-dua ibu dan bapa kandungnya telah mengabai dan meninggalkannya di tepi jalan untuk dikutip oleh orang lain.


Namun, sebaik sahaja dia melihat lakaran wajah dewasa seorang kanak-kanak hilang sejak 24 tahun lalu yang diedarkan, dia menjadi sangat terkejut apabila melihat wajahnya amat menyerupai dengan lakaran itu. Lalu Kang Ying atau Qifeng telah cuba menghubungi Wang Mingqing.

Dengan bantuan pihak berkuasa, Kang Ying dan Wang Mingqing telah menjalani ujian DNA, dan ujian itu telah mengesahkan bahawa mereka mempunyai pertalian hubungan bapa dan anak. Ternyata Wang akhirnya telah menemui Qifeng.


Kredit : Cover News

Stesen televisyen tempatan, Cover News kemudian telah melawat keluarga Wang dan memberitahu Wang Mingqing bakal membuat panggilan pertama dengan mendengar suara anak perempuan yang dirinduinya selama 24 tahun. Wang menjadi begitu sebak dan tidak dapat menahan air matanya dari mengalir sebaik sahaja mendengar suara Qifeng.

Sambil menangis, Wang berkata kepada Qifeng, “Mulai hari ini, ayah ada di sini. Kamu tidak perlu bimbangkan perkara lain. Ayah akan sentiasa menyokong kamu!”

Pada 3 April 2018, Qifeng telah terbang ke Chengdu dari tempat tinggalnya kini di wilayah Jilin di utara China untuk mengadakan pertemuan semula bersama keluarga kandungnya.



Kredit : Cover News

Qifeng yang sudah berumahtangga turut membawa anak perempuannya yang berusia setahun untuk bertemu dengan datuk dan nenek kandungnya.

Pertemuan semula Qifeng telah disambut erat dan penuh emosi oleh keluarga Wang dengan buat pertama kali Qifeng menjejakkan kaki di rumah lamanya sejak 24 tahun yang lalu. Ibu bapa kandung mana yang tidak terharu dan gembira apabila akhirnya dapat menemui semula anak mereka yang telah hilang selama puluhan tahun.


Kredit : Cover News

Usaha gigih dan kesabaran Wang Mingqing tanpa mengenal erti putus asa mencari Qifeng selama 24 tahun akhirnya berbaloi dan diberi balasan setimpal apabila akhirnya anak perempuan kesayangan yang dirindui telah kembali ke pangkuannya.

Keluarga Wang mengabadikan memori dan pertemuan penuh bermakna ini dengan mengambil foto keluarga.

Lihat video menyentuh hati di bawah.

No comments

Powered by Blogger.