Header Ads

“Siapa Cepat Dia Dapat”.Subsidi Rm50 Untuk Rakyat Malaysia Yang Pulang Mengundi..



Adakah anda ingin menjimatkan kos perjalanan untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bulan depan?


Jika ya, anda pasti tidak ingin melepaskan peluang untuk mendapatkan subsidi perjalanan sebanyak RM50 yang ditawarkan Many Colors, One Race (Pelbagai Warna, Satu Bangsa) dengan cara mudah dan menyeronokkan ini.

Anas.

Pengasasnya, Anas Zubedy berkata, subsidi perjalanan itu kali pertama dianjurkan bagi membantu rakyat Malaysia menjimatkan perbelanjaan mereka demi menunaikan tanggungjawab pada hari tersebut.

"Konsepnya adalah siapa cepat, dia yang dapat. Buat masa ini tawaran ini terhad kepada 200 penyertaan terawal.

"Apa kata ketika anda ingin balik mengundi, anda boleh naik kereta sama-sama, rapatkan silaturahim, berseronok dan pada masa sama boleh dapatkan subsidi perjalanan," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.


Beliau yang juga perunding latihan kemahiran dan pembangunan peribadi itu berkata, tawaran itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang layak mengundi tanpa mengira parti politik yang menjadi pilihan mereka.

Antara syarat yang dikenakan adalah perjalanan tersebut hendaklah lebih daripada 200 kilometer iaitu dari lokasi peserta bekerja dengan pusat membuang undi dan sekurang-kurangnya terdapat empat pengundi untuk setiap kenderaan.


Peserta juga perlu mengikuti Many Colors, One Race di Facebook dan memuat naik gambar atau video mereka ke laman tersebut.

"Muat naik sekeping gambar atau video anda bersama rakan lain menyanyi lagu 'Marilah Mengundi' di hadapan kereta berserta jari yang sudah dicelup dakwat pada hari mengundi 9 Mei ini.

"Jangan lupa nyatakan nama penuh anda dan rakan lain serta kawasan mengundi pada penyertaan tersebut," katanya.


Peserta turut diminta menyediakan resit tol sebagai bukti perjalanan tersebut dan mereka yang berjaya akan dihubungi melalui aplikasi pesanan Facebook.

Tambah Anas, pihaknya mungkin akan meningkatkan jumlah subsidi yang diberikan sekiranya ada pihak lain yang berminat untuk memberikan sumbangan bagi menggalakkan rakyat Malaysia keluar mengundi.

Ujarnya, idea untuk memberikan subsidi itu tercetus secara spontan selepas pengumuman tarikh PRU14 pada 10 April lalu.




No comments

Powered by Blogger.