Header Ads

Lari Dari HSNZ, Pesakit Mental Terjun Laut Di Pantai Batu Buruk..



KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dikhuatiri lemas di Pantai Batu Buruk, selepas melarikan diri ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam tadi, Wan Mohd Azren Wan Abdullah, 32, dari Panji Alam, di sini, yang dipercayai kurang siuman dikatakan melarikan diri dari HSNZ sebelum terjun ke laut.


Saksi, Syed Mohamad Shamsuddin Tuan Azam, 50, berkata, dia yang berada di unit kecemasan terdengar jeritan seorang wanita sebelum melihat seorang lelaki keluar melarikan diri dari Unit Kecemasan.

Katanya, dia bersama beberapa lagi individu, termasuk pengawal keselamatan bertindak mengejar mangsa yang melarikan diri ke arah laut.

“Ketika melarikan diri, mangsa bertindak menanggalkan semua pakaian dan berlari ke arah pantai sebelum terjun ke dalam laut dan hilang.


“Saya kemudian menelefon talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.38 malam tadi sebelum tiba di lokasi pada 9.51 malam tadi.

“Dua jentera bomba termasuk Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) membabitkan 13 anggota diarahkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.


“Operasi masih dijalankan pada jarak 50 meter radius di dalam laut oleh empat anggota PPDA dan membuat rondaan di gigi air.

“Memandangkan keadaan gelap ia sedikit menyukarkan operasi pencarian, bagaimanapun pihak kami sedang berusaha mendapatkan bantuan pencahayaan.

“Operasi akan diteruskan malam ini meskipun keadaan ombak sedikit besar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sumber: Berita Harian

No comments

Powered by Blogger.