Header Ads

Bekas Jantung Yang Berisi Jantung Milik Permaisuri Perancis Berusia 130 Tahun Dicuri!


Paris: Sebuah bekas emas bujur yang mengandungi jantung permaisuri Perancis pada abad ke-15 dan 16, dilarikan pencuri yang memecah masuk Muzium Thomas-Dobree di Nantes, Perancis, minggu lalu.

Bekas emas seberat 100 gram itu dibuat khas untuk Anne of Britanny yang pernah menjadi permaisuri Perancis sebanyak dua kali.


Pencuri berkenaan dikatakan memecahkan cermin tingkap di rumah artifak dan berjaya melarikan diri walaupun penggera berbunyi.

Presiden Loire-Atlantique di pantai barat Perancis, Philippe Grosvalet berkata, pencuri itu menyerang warisan negara dan mengambil barang yang tidak ternilai harganya.


“Ia lebih daripada simbol kerana bekas itu mengandungi jantung permaisuri Perancis yang menjadi milik kepada sejarah kita.

“Jika mereka mencurinya disebabkan ia berkilau dan diperbuat daripada emas, mereka sepatutnya faham nilai sejarah dan simbolnya jauh melebihi 100 gram emas,” katanya.

Jantung Anne dipamerkan di muzium berkenaan sejak lebih 130 tahun lalu dan terselamat daripada dicairkan ketika kebangkitan Revolusi Perancis pada 1789.

Kali pertama Anne ditabalkan sebagai permaisuri adalah pada 1491 hingga 1498 ketika dia berkahwin dengan Raja Charles VIII.


Dia sekali lagi ditabalkan sebagai permaisuri apabila berkahwin dengan Raja Louis XII selepas kematian suami pertamanya pada 1498.

Anne meninggal dunia pada 1541 pada usia 36 tahun sebelum disemadikan di Saint Denis berhampiran Paris namun jantungnya disimpan di makam keluarganya di Nantes sebagai simbol kesetiaan kepada Britanny.

No comments

Powered by Blogger.