Header Ads

“Saya Tak Sanggup Menipu Diri, Sedangkan Saya Dah Tiada Hati Dengan Dia.” Ude Nekad Untuk Berpisah, Izreen Tak Masuk Campur..



Suami kepada Izreen Azminda, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude, 30, sudah tiada hati untuk meneruskan perkahwinan dengan isteri pertamanya, Intan Liana Saleh, 33, dan mengakui perpisahan adalah jalan yang terbaik.

Ude berkata, dia dan Intan tak sanggup menipu diri dengan mengekalkan masjid yang dibina sedangkan sudah tiada hati untuk hidup sebagai suami isteri.


“Agak lama juga saya membuat pertimbangan dan perpisahan adalah jalan terbaik. Namun begitu, kebajikan isteri pertama dan dua anak kami tidak akan terabai.

"Ketika ini, anak-anak tinggal bersama Intan tetapi saya bebas mengambil mereka untuk bermalam pada bila-bila masa.

"Saya kecewa dilemparkan tuduhan melulu netizen yang menganggap saya sebagai bapa yang tidak bertanggungjawab.

“Apa juga yang terjadi antara saya dan isteri pertama, itu masalah kami. Tidak perlu mengaitkan anak saya," katanya.

Sementara itu, Izreen menegaskan dia tidak mahu mencampuri urusan Ude dan Intan yang mengambil keputusan untuk bercerai.


Izreen menjelaskan yang dia tidak berhak memberi sebarang komen mengenai perceraian itu.

Tegas Izreen, dia tidak mahu memberi sebarang ulasan membabitkan apa sedang berlaku antara suami dan isteri pertamanya, apatah lagi apabila memikirkan kedudukannya sebagai isteri kedua.

“Saya pasti apa saja yang keluar daripada mulut saya akan diputar-belit dan dipersalahkan di kemudian hari seperti sebelum ini apabila berita pernikahan kami didedahkan,” katanya.

Tambah Izreen, sebaik sahaja khabar pernikahannya dengan Ude diketahui khalayak dan mendapat banyak kecaman, dia mengambil keputusan tidak mahu mencampuri urusan suami dan isteri pertamanya itu.

“Saya tidak pernah bertanya mengenai mereka berdua. Saya rasa itu jalan terbaik mengelak konflik.

“Jadi apabila mereka membuat keputusan untuk berpisah, saya juga tidak tahu puncanya. 

“Saya tidak mempunyai hak untuk ambil tahu kerana takut nanti disalah anggap dan dipersalahkan kemudian," katanya lagi.

Ude bakal melafazkan cerai terhadap Intan pada 22 Mac depan selepas Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Shaiful Azli Jamaludin menetapkan tarikh tersebut ketika prosiding yang berlangsung semalam.

Pemuzik yang terlibat dengan program Gegar Vaganza itu memfailkan permohonan cerai pada 30 November tahun lalu.

Ude mendirikan rumah tangga dengan Intan pada 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata, Arish Muqri, 3, dan Areq Muqri yang berusia setahun.


Pada November tahun lalu, Liana dilaporkan rela bermadu dan akan mempertahankan rumah tangganya setelah mengetahui Ude telah bernikah dengan Izreen pada 8 Ogos.

Izreen kemudiannya membuat pengakuan terbuka, dia sah menjadi isteri kedua Ude sejak 8 Ogos 2017 dalam satu perkahwinan tertutup di Damansara.

Izreen pernah berkahwin dengan jurukamera iaitu Muhammad Riza pada 2012 dan bercerai selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.

Mereka mendapat seorang anak lelaki iaitu Muhammad Adrian Umar yang kini berusia empat tahun.

VIDEO:


Sumber & Foto: BH Online & Harian Metro
Foto: BH Online & Sinar Harian

No comments

Powered by Blogger.