Header Ads

Digelar 'Tauke Gila' oleh Rakan & Pelanggan Kerana Sanggup Jual Teh Tarik Dengan Harga 20 Sen..



ALOR SETAR: Peniaga gerai makan, Ahmad Thalhaah Ahmad Sabri, 36, pernah digelar 'tauke gila' oleh rakan dan pelanggan kerana sanggup menjual teh tarik pada harga semurah 20 sen segelas.


Ramai yang tidak mempercayai tawaran harga itu kerana rata-rata teh tarik di tempat lain dijual pada harga lazim lebih RM1, malah ada yang mencecah RM2 segelas.

"Memang ramai terkejut ketika mula-mula memperkenalkan harga ini pada awal tahun lalu sehingga ada yang mengelar saya 'tauke gila'.

"Harga istimewa ini adalah hadiah kepada pelanggan yang banyak menyokong perniagaan saya selama ini," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui di premisnya, Gerai Pak Usop di Taman Pelangi, Jalan Kuala Kedah, hari ini.

Katanya, teh tarik 20 sen ditawarkan setiap hari dari jam 6 hingga 9.00 pagi, dan harga akan kembali kepada RM1 selepas itu.

"Pada waktu terbabit, gerai ini memang menjadi tumpuan, terutama penduduk setempat dan kakitangan awam kerana terletak berhampiran Kompleks Penyiaran Kedah. Setiap hari, hampir 300 gelas teh tarik berjaya dijual.

"Malah setiap Rabu, kita membenarkan pelanggan membeli teh tarik pada harga ini untuk dibawa pulang dengan bekas sendiri," katanya.

Ahmad Thalhaah berkata, walaupun berharga 20 sen, beliau tidak berkompromi dari segi kualiti dan minuman disediakan itu setanding teh tarik lain tanpa menggunakan gula sebagai pemanis tambahan.

Beliau mengambil alih perniagaan daripada Allahyarham bapa mentuanya, Mohd Yusof Saad (Pak Usop) yang meninggal dunia enam tahun lalu berkata, pada mulanya hanya bercadang membuat promosi itu hingga akhir bulan ini.

"Namun atas permintaan pelanggan, harga ini dilanjutkan hingga hujung tahun," kata bapa kepada dua anak itu.

Ini adalah kali ketiga beliau membuat promosi itu yang sebelum ini cuma berlangsung sekitar sebulan.


Gerai Ahmad Thalhaah yang dibuka hingga jam 12 tengah malam turut terkenal dengan nasi ayam hainan dijual pada harga RM4.

Katanya, beliau yang menggunakan 55 ekor ayam sehari turut menerima tempahan nasi ayam daripada masjid di kawasan sekitar untuk majlis kenduri tahlil dan harga dikenakan hanya RM2 tanpa mengurangkan saiz.

"Begitulah saya menyumbang kembali kepada masyarakat dengan rezeki diperoleh," katanya yang dalam perancangan mendapatkan premis tetap pada masa depan.

No comments

Powered by Blogger.