Header Ads

"Saya Bukan Ada Satu Kereta, Saya Ada Banyak Kereta. Semua Perkara Berkaitan Kereta Diuruskan Oleh Pengurus Saya. Apatah Lagi Saya Kini Berada Di Luar Negara." Aliff Syukri..





USAHAWAN kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri tidak senang dengan perkataan - sita, yang merujuk kereta jenama Rolls Royce milik syarikatnya disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dakwanya, penggunaan perkataan sita seolah-olah menggambarkan beliau tiada berkemampuan sebaliknya kereta mewah itu dibelinya secara tunai dan tiada lagi hutang.


“Saya beli Rolls Royce itu secara tunai (cash), dan tiada hutang lagi. Saya lebih mampu untuk membelinya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI yang kini berada di Bandung, Indonesia.

Beliau yang juga Pengarah Urusan dan Pengasas Produk Kecantikan, D' Herbs Healthy Sdn Bhd, turut memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat dengan insiden itu.

Merujuk kepada kereta milik syarikatnya didaftarkan dan memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) Sarawak, katanya beliau tidak mengetahui mengenai perkara berkenaan kerana memiliki banyak kenderaan.


"Secara jujur, saya tidak tahu menahu mengenai kereta itu apatah lagi saya kini berada di luar negara," katanya.

Beliau mengakui terkejut sebaik mendapat tahu kereta mewah miliknya disita pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur di Jalan Bangsar di sini, malam tadi.

"Saya tidak tahu-menahu mengenai pembayaran cukai kereta. Semua perkara berkaitan kereta diuruskan oleh pengurus saya.

"Saya bukan ada satu kereta, saya ada banyak kereta.

"Esok saya akan pulang ke Malaysia untuk menyelesaikan perkara ini. Saya ingin meminta maaf kepada JPJ jika ada buat salah," katanya kepada BH ketika dihubungi, hari ini.

Aliff kini berada di Bali, Indonesia atas urusan perniagaan.

Difahamkan, kereta mewah dianggarkan berharga lebih RM1 juta itu disewa oleh dua warga Australia dari sebuah agensi kereta sewa mewah milik Aliff.


Kereta terbabit yang dipandu seorang warga Australia disita selepas pemeriksaan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai lesen memandu sah di negara ini.

Selain itu, dia dan seorang lagi rakan senegaranya yang turut berada dalam kenderaan itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.


Pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati kenderaan itu menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan Sarawak sedangkan kenderaan terbabit digunakan di Semenanjung.

No comments

Powered by Blogger.