Header Ads

“Tak Apalah Ibu, Biar Kakak Mati.” Kanak-Kanak Menderita Penyakit Buah Pinggang Kronik Hingga Tulang Membengkok..



Seremban: “Tak apalah ibu, biar kakak mati.” Ungkapan anaknya itu membuatkan air mata Nor Farizan Mokhtar, 40, berderai jatuh mengenangkan nasib kanak-kanak terbabit yang menderita akibat penyakit buah pinggang kronik lapor Harian Metro.

Menurutnya, anak ketiga daripada lima beradik, Farah Natasya Hira Mohd Nizam, 13, menderita penyakit terbabit sejak berusia dua bulan.

Katanya, Farah Natasya dilahirkan normal sebelum diserang sawan ketika berusia dua bulan dan pemeriksaan doktor mengesahkan terdapat cyst (Polycstic kidney disease) pada buah pinggangnya yang menyebabkan penyakit itu terjadi.


“Akibat penyakit itu, tulang kakak (Farah Natasya) membengkok sedikit demi sedikit sehinggalah tahun lalu, dia tidak lagi boleh berjalan dan hanya terlantar.

“Sebelum ini, dia ke sekolah seperti kanak-kanak lain dan kini hanya meneruskan pembelajaran di Sekolah Dalam Hospital di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).



“Kakak terpaksa berulang-alik ke HTJ untuk menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

“Lebih menyeksakan, hampir seluruh badannya sudah ditebuk untuk memasukkan tiub bagi rawatan itu.

“Selepas ini, doktor perlu mencari bahagian sesuai yang masih boleh ditebuk dan kami hanya berserah kepada Allah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tuanku Jaafar, Senawang, semalam.


Nor Farizan yang bekerja sebagai pembantu pra sekolah berkata, dia dan suami, Mohd Nizam Razali, 42, yang bertugas sebagai pembantu perubatan di HTJ membelanjakan hampir keseluruhan gaji untuk merawat anaknya itu.

Katanya, kos perubatan anaknya itu mencecah RM2,000 sebulan, selain mereka perlu menampung keperluan harian keluarga dan persekolahan empat lagi anaknya.

“Meskipun payah sehingga terpaksa berhutang dan membuat pinjaman dengan institusi kewangan, semuanya dilakukan demi melihat kakak dapat sembuh semula.

“Kami sudah berusaha selama 13 tahun dan hanya bertawakal serta berdoa kepada Allah. Kalau ikutkan apa saja saya dan suami sanggup lakukan demi kakak, tetapi jika Allah lebih sayangkannya, kami sekeluarga reda,” katanya.


Sementara itu, Mohd Nizam berkata, dia tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan, selain daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diperoleh RM200 sebulan.

“Saya bersyukur keluarga dan rakan banyak membantu selama ini. Saya berharap ada pihak yang sudi tampil membantu kos perubatan merawat penyakit dihidapi anak saya ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank milik Mohd Nizam, 155014014639.

Sumber: Harian Metro.

No comments

Powered by Blogger.