Header Ads

“Kerana Najis Dadah, Wang Simpanan Saya Dari RM500,000 Hanya Berbaki RM1.52,” Pengakuan Radhi OAG Pernah Bergelumang Dadah Sejak Umur 15 Tahun..


Kuala Lumpur: Pendedahan terbuka yang dilakukan Radhi OAG, tujuh tahun lalu mengakui dirinya sebagai ‘pelanggan’ setia najis dadah sejak berusia 15 tahun, satu perkongsian yang diharapkan dapat menjadi pengajaran kepada generasi muda supaya tidak sekali-kali mendekati dadah lapor Harian Metro.

Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 40, mengakui usaha meninggalkan tabiat buruk itu bukan mudah sehinggakan dia kembali terjerumus beberapa kali…

“Benda yang sudah sebati dalam badan bukan mudah untuk ditinggalkan. Kalau tidak kuat memang selamanyalah hidup bergelumang dengan dadah.


“Saya beberapa kali cuba berubah. Baik sekejap lepas itu buat balik. Bila kita niat nak buat baik, akan datang kepada kita ujian yang kadang-kadang sukar untuk diterima,” katanya.

Dia masih ingat, pada malam sambutan Tahun Baru Cina sekitar tujuh lalu, badannya tiba-tiba menjadi panas ketika sedang khayal dadah dan dihantui perasaan resah, takut memikirkan masa depannya semakin gelap.




Ketika itu terbayang muka anaknya dan timbul penyesalan kerana gagal menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dengan baik.

Malam itu juga saya nekad untuk meninggalkan perbuatan saya dan meminta bantuan seorang rakan, bawa saya keluar dari rumah sewa. Dalam perjalanan saya mendapat panggilan telefon daripada ‘enam jahanam’. Mereka ialah kawan-kawan lama saya. Ada yang ajak saya ‘berdengung’, ada yang kata ‘ada barang baik’ untuk saya.

“Ada juga minta saya cuba ‘barang’ baru sampai. Terdesak saya untuk menutup telefon bimbit,” katanya.


Akuinya sepanjang pembabitan dalam gejala tidak bermoral itu, banyak wang dihabiskan. Satu malam kadang-kala lebih RM1,000 dibelanjakan untuk mendapatkan beberapa peket dadah bagi dikongsi dengan rakannya.

“Bayangkan kerana najis dadah, wang simpanan saya hasil daripada lakonan dan nyanyian yang pernah dikumpul kira-kira RM500,000 lesap begitu saja. Saya terkejut pada suatu hari saya melihat penyata akaun bank dari RM500,000 hanya berbaki RM1.52,” katanya kesal.

Mengulas mengenai pendedahan Lambakan Artis Lalok yang merujuk kepada laporan kajian dilakukan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), baru-baru ini, Radhi tidak menafikan kebenaran segelintir golongan berkenaan terbabit dalam kegiatan itu.


Bagaimanapun, dia merayu supaya mereka yang terjebak di dalam kancah dadah durjana ini berusaha menjauhkan diri dengan segera daripada terbabit dengan aktiviti seperti itu

Jangan mudah terpedaya kalau kita ambil dadah, akan ada idea yang mencurah-curah. Itu semua adalah perangkap untuk membawa kita kepada kehancuran.

“Begitu juga kepada peminat di luar sana supaya jangan sesekali mendekati najis dadah kerana ia amat menyeksakan. Ambil pengalaman saya sebagai panduan betapa dadah ini merosakkan hidup.


“Kerana pengaruh dadah jugalah menyebabkan berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak dan pembunuhan apabila akal manusia tidak dapat dikawal,” katanya.

Bersyukur dengan perubahan dirinya yang kini bebas dadah, Radhi mengakui amat bertuah dapat mengenali , Nur Shahira Ayu Zahiri, sebelum mereka berkahwin tiga tahun lalu.

“Alhamdullilah saya kini lebih menghargai kehidupan, masa depan dan sentiasa berharap dapat menjadi suami yang baik kepada Ayu dan bapa yang bertanggungjawab kepada zuriat kami,” katanya.

Jauhi Najis Dadah!

No comments

Powered by Blogger.