Header Ads

"Ikon Yang Pintar, Muda Dan Berdikari." Tony Fernandes Lantik Neelofa Menjadi Ahli Lembaga Pengarah Airasia..


SYARIKAT penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad (AirAsia) mengumumkan pelantikan selebriti usahawan terkemuka tanah air, Noor Neelofa Mohd Nor atau lebih dikenali sebagai Neelofa menjadi Pengarah Bebas Bukan Eksekutif berkuatkuasa serta-merta lapor Harian metro.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pelantikan Neelofa ke dalam ahli lembaga pengarah itu adalah perkara yang begitu mengujakan kerana kelebihannya sebagai usahawan, pencipta jenama dan pencetus industri bakal memberi lebih nilai kepada AirAsia.


"Neelofa adalah ikon yang pintar, muda dan berdikari yang mana ia adalah apa yang kita perlukan untuk bersama-sama syarikat dalam menjadi syarikat penerbangan terbaik, dipercayai dan dihormati di seluruh dunia.

"Reputasi beliau sebagai ahli perniagaan terkemuka Malaysia yang turut dinamakan oleh Forbes di bawah 30, mempunyai rekod yang tersendiri memperjuangkan wanita dalam perniagaan adalah inspirasi kepada kami," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.


Sementara itu, Neelofa berkata, beliau berbesar hati untuk menerima cabaran dan menyertai keluarga AirAsia dan berterima kasih kepada ahli lembaga pengarah melantiknya sebagai sebahagian daripada syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia itu.

"Pencapaian ini bukanlah hanya kejayaan buat diri sendiri, tetapi ia adalah buat semua wanita di luar sana. Saya teruja untuk menjalankan tugas baru ini dan berharap dapat menjadi lebih baik pada masa akan datang," katanya.


Neelofa, selebriti dan usahawan yang mempunyai empayar perniagaan dengan jenama Naelofar Hijab mempunyai rekod jualan sehingga RM200 juta pada tahun ini dan produk hijabnya turut berada di 37 pasaran dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Australia, Arab Saudi dan Brunei.

No comments

Powered by Blogger.