Header Ads

"Bukan Rampas Suami Orang, Saya Sekadar Menumpang Kasih". Izreen Kecewa Dengan Cemuhan Yang Dilemparkan Netizen..



KUALA LUMPUR: Pelakon Izreen Azminda mengakui berat baginya berdepan cemuhan masyarakat yang melabelnya sebagai perampas kebahagiaan insan lain, namun akur kenyataan itu terpaksa dihadapi apabila memilih hidup bermadu lapor Berita Harian.

Sebagai wanita yang pernah melalui kekecewaan dalam kehidupan berumah tangga, Izreen juga tidak rela menghancurkan hati wanita lain namun takdir sudah tertulis apabila terpaksa berkongsi kasih seorang suami.

"Saya sekadar menumpang kasih dan tidak pernah sesekali berhasrat merampas serta meruntuhkan kebahagiaan suami dan isteri pertama.


"Saya tidak sekejam itu, malah tidak akan membenarkan suami meninggalkan isteri pertama semata-mata untuk bersama saya.

"Saya kecewa dengan cemuhan yang dilemparkan netizen. Mereka menjatuhkan hukuman tanpa mengetahui cerita sebenar. Saya akur, pilihan menjadi isteri kedua menuntut pengorbanan besar. Saya sedia beralah dan bertimbang rasa kerana sedar kedudukan diri," katanya.

Spekulasi mengenai status perkahwinan anak kelahiran Kangar, Perlis itu yang bertebaran sejak minggu lalu, tamat petang kelmarin apabila Intan Liana Saleh, 32, yang juga isteri pertama suaminya, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude, 29, membuat pengakuan rela hidup bermadu dengan pelakon itu.

IZREEN dan Ude selamat disatukan sebagai suami isteri pada 8 Ogos lalu.

Izreen dan Ude yang juga pemuzik bebas, melangsungkan pernikahan pada 8 Ogos lalu di Damansara, Petaling Jaya berwalikan bapanya, Mohd Aznam Mohd Noor.

Dengan sekali lafaz, bakat yang diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin TV3 pada 2013 itu sah menjadi isteri pada jam 10 pagi.


"Saya minta maaf dan tidak bermaksud mahu menimbulkan spekulasi mengenai status perkahwinan kami sebelum ini. Ramai yang bertanya tetapi saya terpaksa mendiamkan diri kerana menanti masa yang tepat untuk menjelaskan segala-galanya," katanya.

Ibu kepada Muhammad Adrian Umar, 4, itu sedar statusnya sebagai isteri kedua dan sentiasa mengingatkan diri supaya tidak menuntut berlebihan. Izreen juga berharap suaminya tidak sesekali mengabaikan isteri pertama dan dua anak mereka.


"Saya faham perasaan seorang isteri apabila mengetahui suaminya berkahwin lain. Saya harap suami akan mempertahankan perkahwinan pertamanya kerana saya tidak mahu berlaku perkara tidak diingini berlaku susulan pernikahan kami.


"Alhamdulillah, saya lega apabila mengetahui Intan Liana sudi menerima saya sebagai madunya. Saya berharap kami dapat berkongsi hidup seperti satu keluarga. Saya juga bersedia bersemuka dengannya untuk menjalin hubungan baik," katanya.

Mengulas majlis doa selamat yang dijadualkan berlangsung pada 7 Disember ini, Izreen berkata, memadai dengan penjelasan yang diberikan dan mereka tidak berniat untuk memanjangkan lagi isu itu demi menjaga hati dan perasaan pihak lain.


No comments

Powered by Blogger.