Header Ads

Perjalanan Yang Penuh Berliku Melalui Sungai Dan Gunung Selama 9 Hari Dengan Suhu -35 Celsius, Salji Yang Tebal Serta Jarak Sejauh 72 KM, Bukan Mudah Ibu Di India Melahirkan Anak Di Hospital “Terdekat”!



Kelahiran ahli baru dalam sebuah keluarga merupakan saat yang paling gembira dan sentiasa dinantikan dalam kehidupan berkeluarga.

Kebanyakan dari kita berasa amat bertuah kerana mengalami pengalaman melahirkan cahaya mata di hospital dengan keadaan yang sangat selesa. Dan selepas itu, kita akan pulang ke rumah disambut dengan sambutan pelbagai hadiah dan ucapan tahniah serta mendapat rehat yang cukup tanpa perlu merasa bimbang.


Bagaimana rasanya anda bertukar situasi dengan satu keluarga dari satu perkampungan di Ladakh, utara India ini? Kehidupan mereka amat berbeza dengan kita semua. Untuk melahirkan seorang anak, seorang ibu bersama keluarganya perlu berjalan kaki sejauh 72 kilometer selama sembilan hari untuk sampai ke hospital berdekatan.

Dunia yang berbeza

Dengan tiada kemudahan hospital dan doktor di kampung keluarga ini tinggal, mereka terpaksa berjalan kaki mengharungi Sungai Chadar dengan altitud 3,390 meter selama sembilan hari. Kemudian mereka akan pulang dengan jalan yang sama setelah bayi tersebut dilahirkan.


Bayi yang baru dilahirkan akan dilindungi dengan pakaian dan selimut yang tebal untuk sembilan hari perjalanan pulang ke kampung mereka di bandar Ladakh, utara India.


Perjalanan yang jauh. Ahli keluarga yang lain akan menggendong saudara kandung bayi ini sambil berjalan di tepi sungai yang beku selama lapan jam sehari.


Untuk sampai ke destinasi yang menempatkan sebuah hospital terdekat di Lingshed, mereka perlu berjalan kaki selama sembilan hari dengan melalui pergunungan dan sungai yang membeku dengan suhu di bawah takat beku -35 darjah celsius. Selepas itu, mereka akan pulang melalui perjalanan yang sama.

Seorang jurufoto telah terserempak dengan sebuah keluarga semasa mereka sedang dalam perjalanan pulang bersama bayi yang baru dilahirkan yang diletakkan di dalam sebuah bakul.


Dengan Sungai Chadar yang membeku bersama ketinggian 3,390 meter dari paras laut, keluarga ini berjalan selama lapan jam sehari mengharungi sungai sehingga paras lutut dengan kesejukan yang menggigit sehingga ke tulang.

Keluarga ini terpaksa membawa barangan keperluan bersama anak mereka. Dan pada waktu malam, mereka akan bermalam di dalam gua berdekatan sebelum meneruskan perjalanan pada keesokan harinya menuju ke kampung halaman mereka.


Jurufoto Tim Vollmer dari Iceland telah merakamkan wajah pahit getir keluarga ini yang mengharungi Sungai Chadar yang membeku untuk kembali ke perkampungan mereka di Ladakh.

Tiada pilihan lain. Keluarga ini perlu membawa makanan, selimut dan lain-lain keperluan di belakang mereka dan akan bermalam di dalam gua sebelum meneruskan perjalanan di pagi hari.


Laluan sukar. Keluarga ini terpaksa mengharungi salji dan air sungai yang beku selepas cuaca sejuk dan salji tebal telah menghalang jalan yang biasa dilalui oleh penduduk Ladakh ke hospital di Lingshed.


Tempat berteduh. Gua di pergunungan menjadi penempatan sementara bagi keluarga ini menginap pada malam hari melindungi diri dari kesejukan malam yang menyengat.


Tim Vollmer berkata, “Pada satu hari, saya bertemu dengan keluarga ini bersama anak lelaki mereka dan bayi yang baru dilahirkan. Saya menjadi begitu kagum melihat bagaimana seorang ibu boleh berfikir ini adalah cara biasa untuk melahirkan seorang anak.”

Kata Tim lagi,”Pada saya, berbeza dengan cara di barat yang mendapat segala kemudahan untuk melahirkan seorang anak, amat mengagumkan apabila melihat anak kecil dan bayi ini berada dalam kesejukan, apa yang boleh mereka lakukan selain menerima.”

“Sungai Zanskar adalah sungai yang luas dan deras. Perjalanan di antara Chillimg dan Lembah Zanskar amat sukar dengan melalui gaung dan lurah yang curam. Mereka berjalan di atas sungai yang membeku dengan air sungai di bawah kaki yang sangat sejuk, perasaan yang amat menakutkan bagi orang biasa seperti kita, ” tambah Tim Vollmer lagi.


Menurut Tim, “Perjalanan secara biasa dalam keadaan yang baik dari Leh di Ladakh ke Lingshed memakan masa selama empat hingga lima hari. Tetapi musim sejuk dan salji tebal telah menutup jalan biasa tersebut dan ia akan kembali pulih selepas enam bulan. Penduduk tempatan menggunakan laluan perjalanan melalui sungai dan ada di antara mereka yang menemui ajal di dalam perjalanan yang merbahaya ini.”

Keluarga ini membawa pengheret barangan bersama mereka bagi meringankan beban mereka dan ibu yang baru melahirkan anak ini.


Perjalanan dari Leh di Ladakh ke hospital di Lingshed memakan masa lima hari pada musim panas. Tetapi pada musim sejuk, jalan biasa dipenuhi salji tebal. Maka jalan pergunungan dan sungai yang membeku sahaja menjadi jalan alternatif.

No comments

Powered by Blogger.