Header Ads

Percutian Ke Eropah Hadiah Hari Lahir Aaisyah..


KUALA LUMPUR: Hasrat Rozita Che Wan meraikan hari lahir puterinya, Aaisyah Dhia Rana, di United Kingdom, yang tidak kesampaian tahun lalu akhirnya ditebus semula aktres berkenaan, kali ini.


Bersempena ulang tahun ke-3 anak perempuannya yang diraikan 1 November lalu, Rozita, suami dan Aaisyah akan terbang ke London, Paris dan Geneva.

Mereka akan berlepas ke sana bersama jurugambar dan seorang teman pada malam ini. Percutian di Eropah itu dijadualkan selama 10 hari.


Ditemui BH Online pada majlis sambutan hari lahir anaknya yang bertemakan konsep Puteri dan Putera, di sini, Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta berkata, percutian berkenaan adalah hadiah untuk Aaisyah.


"Akhirnya dapat juga bawa Aaisyah bercuti ke luar negara sempena ulang tahun kelahirannya. Tahun lalu hasrat berkenaan tidak menjadi apabila saya disekat daripada ke luar negara akibat masalah tunggakan cukai.

"Seperti saya jelaskan sebelum ini, bukannya saya tak bayar, cuma pada tahun lalu pembayarannya tidak konsisten seperti selalu.


"Gara-gara masalah terbabit, saya kena tanggung sejumlah kerugian. Duit hotel di London hangus begitu saja. Tempahan tempat majlis dan makanan, termasuk kek, juga sudah dibuat. Baju kami sekeluarga untuk ke sana pun sudah dimasukkan dalam bagasi. Cuma, bagi tiket penerbangan, ia masih boleh dianjak ke tarikh lain, tetapi perlulah dibayar denda. Nak buat macam mana, bukan rezeki," kata Rozita.


Menurut aktres yang turut bergelar usahawan ini, sebelum terbang ke luar negara, beliau perlu melunaskan dulu rakaman penggambaran program keusahawan, CEO Desa. Rancangan untuk siaran TV3 itu menyaksikannya bertindak sebagai mentor.


Bercerita mengenai percutian bersama puteri kesayangannya itu, Rozita mengaku cukup teruja.

"Saya paling berasa seronok untuk membawa Aaisyah ke Disneyland Paris. Pada usianya sekarang, dia mungkin sudah boleh menghargai karakter terkenal Disney," katanya sambil memaklumkan, dua lagi anak lelaki tidak ikut serta kerana terikat dengan jadual persekolahan.

No comments

Powered by Blogger.