Header Ads

Misi Sukarelawan Banjir.. 1500 Orang Sukarelawan KKLW Terlibat Dalam Misi Sukarelawan Prihatin @ KKLW Ke Pulau Pinang Hari Ini..



Seramai 1,500 sukarelawan terdiri daripada lima agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) iaitu Mara, Felcra, Risda, Kemas dan Keda digerakkan ke Pulau Pinang bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas dalam kejadian banjir melanda negeri itu baru-baru ini.

Menurut Menteri Kemajuan luar bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menerusi bantuan tersebut, sukarelawan terlibat akan menjalankan aktiviti gotong-royong seperti membersihkan dan mengecat premis-premis bangunan yang terjejas berikutan kejadian itu.


“Seramai 1,500 sukarelawan daripada agensi di bawah KKLW iaitu Majlis Amanah Rakyat (Mara), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Negara (Felcra), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda)  dihantar bagi membantu mangsa banjir di sana,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelepasan Misi Sukarelawan Prihatin@KKLW ke Pulau Pinang di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) hari ini.

Mengulas lebih lanjut mengenai program itu, Ismail Sabri berkata, fokus kementerian adalah melibatkan pembaikan infrastruktur dalam memastikan kebajikan masyarakat luar bandar diambil perhatian serius.


Selain itu, beliau berkata sukarelawan daripada pelatih GiatMara juga akan membantu membaiki semua peralatan elektrik termasuklah motosikal secara percuma.

“Malah, sebanyak 1,400 pek bantuan yang mengandungi makanan, barangan keperluan diri dan dan selimut turut akan diagihkan kepada mangsa terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa menerusi program bantuan itu, pihaknya akan memberi fokus di 30 perkampungan dan kawasan yang terjejas antaranya ialah Kepala Batas, Tasik Gelugor dan Permatang Pauh.

Tambahnya, walaupun Pulau Pinang ditadbir oleh pembangkang, kerajaan sentiasa komited untuk membantu mangsa yang terjejas dengan mengetepikan sentimen politik.

“Kita tak tengok mangsa dari parti apa dan siapa sahaja yang perlukan bantuan akan dibantu oleh kerajaan,” katanya.

Sebelum pelepasan sukarelawan tersebut, Dato Sri Ismail Sabri turut berkesempatan menyerahkan bantuan kepada 21 orang penuntut dari UniKL yang terlibat dalam kejadian banjir tersebut di mana mereka diberikan bantuan wang tunai berjumlah Rm200 seorang. 


No comments

Powered by Blogger.