Header Ads

Kanak-Kanak Usia 5 Tahun Lebam Diseluruh Badan Kerana Dicubit Oleh Guru Gara-Gara Gagal Siapkan Kerja Sekolah..



KUALA LUMPUR – “Anak saya kini trauma dan setiap hari mengatakan tidak mahu ke sekolah berikutan takut dengan guru,” kata Mohd Suhairy Mohd Sukis, 32, bapa kanak-kanak lelaki yang badannya dipenuhi kesan lebam dipercayai dicubit ustazah lapor Harian Metro.

Kanak-kanak lelaki itu, Muhammad Dhani, 5, dipercayai dicubit di seluruh badan termasuk hidung berikutan gagal menyiapkan kerja sekolah ketika waktu pembelajaran di sebuah tadika di ibu kota.

Mohd Suhairy berkata, pada jam 12.30 tengah hari 17 November lalu, isterinya menjemput anak sulung di tadika dan dia kelihatan diam sepanjang perjalanan pulang.


Sebaik tiba di rumah, isteri meminta anak membuka baju dan menyuruhnya mandi namun Muhammad Dhani enggan serta mendiamkan diri.

“Isteri membuka baju sekolah dan terkejut melihat badan anak dipenuhi kesan lebam manakala payudara melecet teruk,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai pengawal peribadi berkata, sebaik ditanya Muhammad Dhani mengaku dicubit ustazah sebelum isteri menghubunginya memaklumkan kejadian itu.

“Anak saya menangis dan menjerit mengatakan puting dada dia ‘kepanasan’ sebelum kami menghantarnya ke Hospital Kuala Lumpur.


“Muhammad Dhani dirawat selama tiga hari di wad dan hasil pemeriksaan doktor mengatakan anak dicubit, dia kini trauma tidak mahu ke sekolah,” katanya.


Katanya, dia menghubungi seorang guru yang juga ustazah untuk bertanya hal itu namun wanita itu menafikan berbuat demikian dan mendakwa mungkin ia perbuatan murid lain.

“Saya tak percaya dakwaan itu kerana jelas lebam pada badan anak seperti dicubit orang dewasa, beberapa jam kemudian saya dihubungi guru besar dan mereka meminta saya ke sekolah untuk berbincang.

“Dalam perbincangan itu, ustazah berkenaan mengaku mencubit anak kerana tidak menyiapkan kerja sekolah, bayangkan anak saya hanya berusia lima tahun dan sepatutnya perkara ini tidak terjadi,” katanya.

Mohd Suhairy berkata, dia berharap pihak berkaitan bertanggungjawab dan menjadi pengajaran supaya perkara sama tidak terjadi kepada orang lain.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Md Isa mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-kanak.


No comments

Powered by Blogger.