Header Ads

Ibu Tunggal 3 Anak Usia 61 Dijatuhi Hukuman Penjara Sehari & Denda RM500 Kerana Mencuri ‘Barangan Keperluan’ Di Pasaraya..


KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis kerana mencuri pelbagai barangan keperluan harian berjumlah hampir RM500, Sabtu lepas.

Majistret Siti Radziah Kamarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap ibu tunggal yang berusia 61 itu selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri pelbagai barangan antaranya udang, sotong, ikan, sos cili, cili padi, sosej, asam jawa dan kicap yang kesemuanya berjumlah RM493.56, milik sebuah pasar raya di Wangsa Maju, di sini.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pasar raya berkenaan pada 11.10 pagi, 11 Nov lepas, mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya hendaklah dipenjara dan boleh didenda.

Mahkamah memerintahkan wanita yang tidak bekerja dan mempunyai tiga anak berusia 29 hingga 34 tahun itu menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan penjara 14 hari sekiranya gagal membayar denda.

Terdahulu, warga emas itu yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia telah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.


“Saya mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung yang memerlukan saya mendapatkan rawatan di hospital dan saya benar-benar menyesal dengan kesalahan saya ini,”katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya K.Vasugi memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh.


No comments

Powered by Blogger.