Header Ads

Fattah Amin & Fazura Tidak Diberi Layanan Istimewa - JAWI


PETALING JAYA: Ketika timbul persoalan mengenai pernikahan pelakon Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) mengesahkan pasangan berkenaan mengikut peraturan perkahwinan yang betul.


Menurut jurucakap pejabat agama itu, kedua-dua pelakon tersebut melalui prosedur perkahwinan sama seperti pasangan lain yang berkahwin.

“Ya, mereka bernikah malam tadi (Isnin) dan dinikahkan oleh jurunikah daripada pihak Jawi. Kami menerima permohonan dan dokumen yang lengkap daripada pasangan tersebut.


“Fattah juga menghadiri kursus kahwin dan membuat permohonan itu melalui Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPIMM) secara dalam talian,” ujarnya kepada mStar Online.

Fattah dan Fazura mengadakan sidang media mengenai hubungan mereka selepas pulang dari umrah.

Pasangan yang bergandingan dalam drama Hero Seorang Cindarella itu dilaporkan selamat bergelar suami-isteri pada kira-kira pukul 9.50 malam Isnin di hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur.

Majlis akad nikah itu berlangsung secara tertutup yang dihadiri keluarga dan rakan terdekat sahaja.


Sementara itu, tambah jurucakap itu, tiada sebarang layanan istimewa atau jalan mudah diberikan kepada pasangan selebriti berkenaan.

“Kami tidak memberi sebarang keistimewaan kepada mereka dan mereka melalui semua proses itu seperti orang lain,” ujarnya yang enggan mendedahkan nama jurunikah terlibat.

Terdahulu, Fattah, 27, dan Fazura, 34, mengikat tali pertunangan pada 13 November lalu di kediaman keluarga wanita itu sebelum kedu-duanya menunaikan ibadah Umrah bersama-sama.


Mereka dijadual mengadakan majlis resepsi perkahwinan pada tahun hadapan.



Kredit : MSTAR

No comments

Powered by Blogger.