Header Ads

Demi Ibubapa, Anak Sanggup Tutup Kedai Makan Demi Menjaga Dan Menguruskan Ibubapa Yang Sakit Terlantar Sepenuh Masa..


KUANTAN: Seorang anak sanggup menutup kedai makan yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu semata-mata mahu menguruskan kedua ibu bapanya yang kini terlantar.

Ibu wanita tabah itu, Maimunah Dollah, 82, disahkan mengidap penyakit angin ahmar separuh badan manakala bapa, Kamaludin Ismail, 82, pula terlantar akibat mengidap pelbagai jenis penyakit termasuk buah pinggang, jangkitan kuman pada paru-paru, darah tinggi dan demam panas.

Situasi tersebut menyebabkan ibu tunggal, Norhayati Kamaludin, 49, dari Rancangan Rumah Murah (RRM) Kampung Kolek, di sini, terpaksa menutup kedai makan miliknya di Sungai Lembing demi menjaga kedua-dua orang tuanya itu.


Dia mengakui kehidupan agak sukar selepas terpaksa menutup kedai sehingga terpaksa 'mengorek' tabung bagi menampung perbelanjaan harian termasuk membeli barang keperluan dapur dan lampin pakai buang untuk bapanya.

“Ibu kena angin ahmar separuh badan 15 Ogos lepas sampai pergerakan dia jadi terbatas. Sebelum tu bapa saya kena demam panas dalam dua minggu, lepas tu melarat kepada penyakit lain seperti buah pinggang, jangkitan kuman pada paru-paru dan darah tinggi.

“Sejak ayah terlantar sakit, sayalah yang jaga dan uruskan keperluan dia,” katanya ketika ditemui di rumahnya selepas menerima kunjungan Adun Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah di sini, Rabu.

Ibu kepada dua anak itu berkata, bapanya tidak selesa memakai lampin pakai buang justeru setiap kali hendak ke tandas dia terpaksa dipapah.


“Insya-Allah, selagi mampu saya akan terus berbakti jaga ibu dan bapa walaupun terpaksa hidup dalam serba kekurangan.

“Apa yang pasti mereka dapat dijaga sebaiknya sebagai membalas jasa mereka yang pernah bersusah payah membesarkan saya dulu,” katanya.

Menurutnya, bapanya pernah dimasukkan ke Wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selama tiga hari kerana demam panas sebelum dibenarkan pulang dan perlu menjalani rawatan susulan Oktober ini.

Katanya, wang simpanan juga semakin susut memandangkan dia tidak mempunyai pekerjaan lain.

Bagaimanapun dia bersyukur dibantu adik bongsunya yang menghulurkan wang belanja untuk keluarga.


Sementara itu, Md Sohaimi berkata, beliau menghulurkan bantuan kepada Maimunah yang menghidap penyakit angin ahmar namun tidak sangka Kamaludin juga turut terlantar atas katil akibat mengidap pelbagai jenis penyakit.

“Kita akan menyemak semula bantuan yang sesuai untuk diberikan kepada Kamaludin memandangkan Norhayati terpaksa menutup kedai demi menjaga kedua-dua orang tuanya,” katanya. - Sinar Online


No comments

Powered by Blogger.