Header Ads

Awas! Perubahan Pada Kulit Terutama Tahi Lalat, Petanda Awal Kanser Kulit..



Menurut Dr. Azura, terdapat dua jenis kanser kulit yang utama iaitu Non-melanoma skin cancer (basal cell carcinoma dan squamous cell carcinoma) dan malignant melanoma lapor Utusan Online.

Jenis-jenis kanser kulit yang lain adalah cutaneous lymphoma, extra-mammary Paget’s disease, merkel cell carcinoma, kaposi sarcoma dan lain-lain.

Basal cell carcinoma biasanya terjadi di kawasan yang terdedah kepada cahaya matahari seperti di kawasan muka, telinga dan tangan. Ia selalunya dapat dikenali dan kelihatan seperti ketumbuhan kecil, di mana permukaan tengahnya boleh menjadi ulser.


“Squamous cell carcinoma juga terjadi di kawasan-kawasan yang terdedah kepada cahaya matahari. Individu yang berkulit gelap juga boleh mendapat kanser ini di kawasan yang tidak terdedah kepada cahaya matahari,” terangnya.

Squamous cell carcinoma selalunya dapat dikenali dan kelihatan seperti tompok merah dengan permukaan yang sedikit bersisik dan ulser atau luka yang mengambil masa terlampau lama untuk sembuh.

Image result for skin cancer

Melanoma pula boleh terjadi di mana-mana bahagian badan, sama ada di kulit yang normal atau tahi lalat yang bertukar menjadi kanser. Namun terang Dr. Azura, ia lebih kerap berlaku di kalangan mereka yang berkulit cerah dan bagi orang Asia atau mereka yang berkulit gelap, melanoma sering terjadi di kawasan tangan, tapak kaki, atau di bawah kuku.

Doktor akan membuat pemeriksaan lengkap dan mengesyorkan supaya biopsi kulit dilakukan bagi mendiagnosis kanser kulit. Sedikit sampel kulit akan dipotong dan diperiksa menggunakan mikroskop.


Risiko

Pesan Dr. Azura, segera bertemu dengan doktor pakar kulit jika anda mempunyai ketumbuhan di kulit dengan ciri-ciri seperti yang diterangkan. Namun, tidak semua ketumbuhan di kulit disebabkan oleh kanser kulit.

Ujar Dr. Azura, mereka yang mempunyai banyak tahi lalat atau tahi lalat luar biasa yang dipanggil dysplastic naevi juga mempunyai risiko kanser kulit. Sebarang perubahan tekstur, rasa atau saiz luar biasa perlu dipantau dan dirujuk dengan doktor kerana ini amat cenderung untuk menyebabkan kanser kulit.

Pesakit yang mengalami actinic keratosis sejenis penyakit kulit pra-kanser berupa tompok-tompok coklat, kasar dan bersisik yang sering terjadi di kawasan muka, kepala dan tangan mereka yang berkulit cerah dan sering terdedah kepada cahaya matahari juga amat berisiko mendapat kanser kulit.

Bagi mereka yang pernah menghidap kanser kulit, risiko untuk untuk mendapatnya sekali lagi agak tinggi. Malah, jika ada diantara ahli keluarga anda pernah menghidap kanser kulit, kebarangkalian untuk anda mendapatnya juga adalah tinggi.

“Pesakit yang menghidap penyakit genetik seperti xeroderma pigmentosum juga berisiko kerana tidak berupaya untuk membaiki sel-sel kulit yang rosak disebabkan pancaran matahari. Sel-sel ini berisiko untuk bertukar kepada kanser kulit.

“Pesakit yang menghidap penyakit HIV atau AIDS atau mereka yang mengambil ubat jenis immunosuppressant selepas pemindahan organ dan mempunyai sistem imun yang lemah juga berisiko untuk mendapat kanser kulit,” ujarnya yang bimbang dengan kurangnya pendedahan orang ramai mengenai kanser kulit.

Tambah Dr. Azura, jika anda pernah menerima rawatan radiasi atau terdedah kepada radiasi secara berlebihan, anda juga berisiko untuk mendapat kanser kulit, terutama basal cell carcinoma. Begitu juga mereka yang mempunyai tahap arsenik tinggi dalam tubuh.


Rawatan

Kanser kulit boleh dirawat dan jenis serta cara rawatan bergantung kepada jenis kanser, saiz dan tahap kanser tersebut.

Bagi merawat actinic keratosis atau kanser kulit yang kecil, kaedah cryotherapy di mana cecair nitrogen digunakan. Krim 5-fluorourasil juga boleh digunakan bagi merawat kanser kulit tersebut manakala Krim 5% Imiquimod juga boleh merawat actinic keratosis dan basal cell carcinoma yang kecil.

Curretage dan electrosurgery pula dilakukan bagi mengikis sel-sel kanser menggunakan pisau dan mana-mana sel-sel kanser yang tertinggal dimusnahkan menggunakan jarum khas elektrik.

Rawatan lain ialah pembedahan, iaitu kanser kulit akan dipotong setelah ubat bius setempat diberi. Dalam sesetengah kes, kulit normal di sekitar kanser perlu dibuang lebih banyak bagi mengelakkan merebak dan memastikan semua sel kanser dibuang.

Image result for skin cancer

Pembedahan Mohs boleh digunakan di kawasan di mana adalah perlu untuk mengekalkan kulit normal sebanyak mungkin seperti pada bahagian muka dan kawasan hidung atau untuk kanser yang lebih besar dan berulang.

Semasa pembedahan Mohs, doktor akan membuang kanser kulit sedikit demi sedikit dan memeriksa di bawah mikroskop sehingga semua sel-sel kanser telah habis dibuang.

Kaedah ini, ujar Dr. Azura, bagaimanapun, tidak terdapat di Malaysia.

Terapi photodynamic yang juga tidak terdapat di Malaysia boleh memusnahkan sel-sel kanser kulit dengan kombinasi cahaya laser dan krim (asid aminolavulenic).

Jika pesakit tidak boleh menjalani pembedahan atau jika kanser tersebut terlalu besar, kaedah radioterapi digunakan untuk membunuh sel-sel kanser.Kanser merupakan salah satu penyakit yang boleh membunuh. Ramai yang tidak mengetahui yang mereka sebenarnya menghidapi kanser, sehinggalah mereka sudah tiba pada fasa terakhir penyakit itu.


11 tanda-tanda kanser kulit yang perlu anda tahu.

1. Tahi lalat yang bersaiz tidak sekata.


Cuba untuk potong tahi lalat anda kepada dua bahagian. Adakah kedua-dua belahnya sama? Tahi lalat yang tidak simetri adalah petanda yang tidak bagus.

2. Tahi lalat yang bergerigi dan tidak licin.


Tahi lalat yang normal selalunya dalam keadaan yang licin

3. Tahi lalat yang menjadi semakin gelap atau bertukar warna.


4. Saiz tahi lalat yang boleh dianggap besar.

Sebagai rujukan, saiz sebesar pemadam pensel. Kepada mereka yang bersaiz sedemikian, sila berikan perhatian.

5. Tahi lalat yang berdarah atau menyakitkan.


6. Jerawat yang tidak hilang pada bahagian yang selalu terdedah kepada cahaya matahari.


Bintik jerawat selalunya akan timbul dan hilang setiap masa, namun bagi yang tidak hilang untuk lebih dari tempoh sebulan atau lebih, ia mungkin bukan jerawat.


7. Lebam pada bahagian kaki yang tidak sembuh-sembuh.


8. Pendedahan kepada HPV (Human PapillomaVirus).

Alat kelamin – yang selalunya kurang terdedah kepada cahaya matahari, ianya dapat dapat membangkitkan sel squamous dan membawa kepada kanser kulit apabila terdedah.


9. Sakit yang tidak sembuh-sembuh.

Kebanyakannya merujuk kepada masalah di dalam mulut (disebabkan oleh merokok). Jadi hindarlah dari merokok.

10. Gari-garis hitam di bawah kuku jari dan kaki.


Ianya juga dilaporkan boleh timbul pada jari kaki.

11. Kulit bersisik

Kanser kulit dan masalah kulit seperti kulit kering, psoriasis, ekzema adalah satu benda yang sangat berbeza. Selalunya bahagian kulit yang menghidapi kanser tidak akan berkesan walaupun disapu dengan produk krim kulit.

Meskipun petanda-petanda seperti ini tidak lah semestinya 100% benar, anda disarankan untuk pergi berunding dengan pakar kulit bagi memastikan yang kulit anda adalah betul-betul sihat.

No comments

Powered by Blogger.